Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS K Nerus henti kerjasama dengan DAP
Diterbitkan:  Apr 2, 2015 4:11 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

PAS Kawasan Kuala Nerus tidak lagi berhasrat untuk bekerjasama dengan DAP Terengganu dan peringkat pusat, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus M Shukrimun Shamsuddin.

    

Beliau berkata PAS Kawasan Kuala Nerus amat kesal dan dukacita dengan keputusan DAP Terengganu memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menjadikan hasrat beliau untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi pelaksanaan hudud di Kelantan ke Dewan Rakyat sebagai alasan.

    

Katanya PAS Kawasan Kuala Nerus menganggap pendirian DAP sama ada di peringkat pusat ataupun negeri yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi pada masa sama meneruskan hubungan dengan parti PAS dan anggotanya umpama mengajak anggota PAS untuk memutuskan hubungan dengan presidennya.

    

"Kami dengan ini ingin menegaskan bahawa adalah haram bagi PAS Kawasan Kuala Nerus untuk tidak menyokong sebarang usaha bagi meninggikan syariah Allah di muka bumi ini dan tidak akan lagi meneruskan kerjasama dengan DAP pusat dan negeri," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu hari ini.

    

Pengerusi DAP Terengganu Ng Chai Hing baru-baru ini menegaskan memutuskan kerjasama dengan Abdul Hadi disebabkan tindakan Anggota Parlimen Marang itu pada 18 Mac lepas mengemukakan notis usul bagi rang undang-undang persendirian itu dibentangkan di Dewan Rakyat.  

    

Rang berkenaan iaitu rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS