Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam: Hubungan Dr M-Najib di peringkat paling genting
Diterbitkan:  Apr 2, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyifatkan hubungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini di peringkat yang paling genting.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Zam (kiri) mengulas tulisan Dr Mahathir dalam blognya hari ini yang menyentuh tentang hubungan kes pembunuhan Altantuya dengan bekas pengawal peribadi Najib.

"... maka saya sebagai seorang tua yang mengenali peribadi Mahathir dari dekat sekian lama dan juga mengetahui peribadi Datuk Seri Najib gementar dengan perasaan bahawa hubungan antara mereka telah sampai ke peringkat paling genting dan tiada lagi jalan yang cerah di hujung terowong," tulis Zam dalam blognya hari ini.

Zam bertanya apakah ini reaksi dari kenyataan Najib mengatakan ada jemuan di Kedah, "menyebabkan Mahathir benar-benar mahu membuktikan dirinya sebagai jemuan.

"Saya tahu Mahathir sanggup untuk jadi apapun dan sedia untuk apapun terjadi kepadanya kerana kepercayaannya," tulis Zam yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan.

Menulis di blognya, Mahathir berkata kenyataan Sirul Azhar Umar bahawa dia hanya menjalankan arahan ketika membunuh Altantuya Shaaariibuu harus disiasat.

"Sebagai pengawal peribadi Datuk Sri Najib (Razak), dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan.

“Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul 'merepek', tidak ada siasatan yang dibuat,” tulis Mahathir.

Pilihan raya umum ke-14

Sementara itu, seorang penulis blog pro-Umno bersetuju dengan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamed bahawa BN akan kalah jika Datuk Seri Najib Razak terus memimpin sehingga pilihan raya umum ke-14.

Syed Akbar Ali berkata sekiranya parti terbesar yang mewakili orang Melayu itu kalah dalam pilihan umum akan datang, maka ia tidak akan dapat dipulih semula.

"Biar saya bagi jaminan, 'garenti' kukuh bahawa Umno dan BN akan kalah PRU14 selagi Najib Razak masih presiden dan perdana menteri.

"'Gerenti' Umno/BN akan kalah,” kata Syed Akbar mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai Umno dan pilihan raya umum itu.

Menulis dalam blognya hari ini, Syed Akbar turut menyindir rakan dan penulis blog Umno lain  bahawa mereka bakal hadapi perubahan besar jika parti itu kecundang.

Menurutnya lagi, kawasan kediaman mewah orang Melayu seperti di Seksyen 7 dan 9 di Shah Alam akan "berubah wajah" dan pertambahan penduduk luar ibu negara akan bertambah.

"Kalau Umno kalah, tak payah kita nak fikir apa yang akan berlaku. Kiamat akan tiba.

"Yang berkereta Mercedes akan berkereta 'Rapid KL'. Yang bermotor besar akan bermotor kapcai," katanya.

"Bilangan penduduk Melayu di Kuala Pilah, Felda Piol, Selama, Parit Sulong dan kawasan kampong lain akan bertambah. Akan bermulalah reverse migration.

"Harga hartanah di semua kawasan, terutama sekali kawasan bandar akan naik gila," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS