Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Caj perkhidmatan kekal, walau ada arahan P'jaya

Pengumuman Putrajaya bahawa pengguna tidak perlu membayar caj perkhidmatan di restoran dan hotel, menyebabkan francais popular dihujani pertanyaan di media sosial.

Ia ekoran arahan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Agung Alias ​​Ahmad pada hari Isnin bahawa perniagaan itu tidak boleh mengutip caj perkhidmatan jika ia tidak mempunyai perjanjian bersama dengan kakitangannya..

Bagaimanapun, beberapa francais utama telah mengumumkan bahawa mereka masih mengekalkan caj perkhidmatan 10 peratus, dengan antaranya memberi alasan kurang maklumat dari kerajaan berhubung arahan tersebut, manakala yang lainnya menegaskan mereka mempunyai perjanjian bersama, dan dengan itu, boleh mengutip caj tersebut.

Contohnya, Sushi King dalam satu kenyataan di Facebook semalam berkata ia sedang mengkaji perkara itu dan buat masa ini, akan kekal dengan dasar lama itu.

Kekaburan berhubung arahan itu nampaknya ekoran reaksi kerajaan yang berdepan dengan tekanan berikutan pelaksanaannya cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Pengumuman tiba-tiba Putrajaya itu sebaliknya menyebabkan perniagaan tersebut menjadi tumpuan perhatian apabila ia bertegaskan bahawa caj perkhidmatan 10 peratus tidak ada sebarang kaitan dengan kerajaan.

Satu lagi francais, Sushi Zanmai, mengulangi apa yang telah ditegaskan oleh Sushi King dalam laman Facebook semalam bahawa semua harga makanan dan minuman di Sushi Zanmai adalah tertakluk kepada caj perkhidmatan 10 peratus.

Ini mengundang bantahan di media sosial dengan seorang pengguna yang dikenali sebagai Henry Wong berkata: "Kerajaan kata tak perlu, semua dalam berita" manakala JC Chan membalas: "Bagaimana jika saya tak setuju nak bayar, anda akan ketepikannya? "

Seorang lagi lagi pengguna yang dikenali sebagai Ivan Cha berkata: "Adakah anda mempunyai perjanjian bersama? Saya tak ada (jadi) anda tidak boleh kutip caj perkhidmatan."

Bagaimanapun, Sushi Zanmai dalam responnya menunjukkan ia mempunyai perjanjian seumpama itu.

Malah, sebelum arahan itu dikeluarkan Isnin lalu, tempat makan popular sudahpun dihujani dengan pertanyaan tersebut, selepas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan mendakwa pada hari Jumaat lepas bahawa pengguna mempunyai hak untuk menolak membayar caj perkhidmatan.

Sebagai contoh, pengguna Facebook Lok Hon San ingin tahu, di laman Facebook Nando, sama ada bayaran caj perkhidmatan itu satu pilihan.

Bagaimanapun, Nando menjawab ia mempunyai perjanjian bersama dengan pekerjanya dan menyatakan bahawa semua caj perkhidmatan yang dikenakan di semua cawangannya akan kembali kepada kakitangannya.

Menurutnya lagi, pelanggan boleh menolak untuk membayar caj perkhidmatan 10 peratus itu sekiranya perkhidmatan yang disediakan adalah tidak memuaskan tetapi itu pun selepas siasatan dijalankan.

Old Town White Coffee juga terpaksa mempertahankan caj perkhidmatan yang dikenakan berikutan kenyataan Ahmad itu.

Menulis di laman rasmi Faceboooknya, syarikat itu menjelaskan bahawa caj perkhidmatan bukan semata-mata untuk gaji dan usaha perkhidmatan kakitangan, tetapi ia juga meliputi pelbagai aspek seperti kemudahan yang disediakan di setiap cawangan.

Tambahnya, cukai 6 peratus GST juga dikenakan di samping caj perkhidmatan 10 peratus kerana kerajaan juga mengenakan cukai ke atas perkhidmatan yang diberikan.

 

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS