Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk bandar PP nafi elak media berkaitan projek

Tidak sampai pun seminggu Datuk Patahiyah Ismail dilantik menjadi Datuk Bandar wanita pertama Majlis Bandaraya Pulau Pulau Pinang.

 

Namun, media bahasa Cina mendakwa bahawa beliau "mengabaikan akhbar, berdiam diri dan mengelak" pertanyaan mengenai bantahan awam - petisyen 1,000 tandatangan - terhadap projek berkepadatan tinggi di Tanjung Bungah, di koridor utara pulau itu.

Penduduk yang disokong oleh ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu Sabtu lalu, bimbang projek dua bangunan  yang dibangunkan oleh Boon Siew Group  itu - satu setinggi 49 tingkat, yang satu lagi 34 tingkat - akan meningkatkan kepadatan di kawasan itu dari 15 (had yang dibenarkan oleh Pelan Struktur Pulau Pinang 2007) kepada 49 unit seekar.

 

Patahiyah menjelaskan semasa sidang akhbar semalam bahawa beliau tidak menjawabnya kerana belum bersedia pada masa itu.

 

"Kadang-kadang saya tidak mempunyai fakta apabila media bertanya soalan terutama apabila saya menghadiri sesuatu majlis," kata Patahiyah.

 

Ahad lalu, apabila Patahiyah ditanya mengenai projek yang dibangunkan oleh Boon Siew Group itu, beliau berada di Beach Street bersama dengan penganjur acara mingguan hari tanpa kereta.

Beliau menjelaskan bahawa adalah sukar baginya untuk memberikan jawapan segera pada masa-masa sebegitu, dan beliau lebih suka sekiranya pihak media bertanya mengenai acara berkenaan.

Tetapi semua itu akan berubah apabila beliau membuat keputusannya untuk mengadakan dua sidang media setiap bulan di mana beliau akan bersedia dengan fakta dan data untuk menjawab sebarang pertanyaan.

Ia selepas bosnya - ahli exco kerajaan tempatan, Chow Kon Yeow - menyarankan bahawa Patahiyah boleh mengadakan lebih kerap sesi pertemuan dengan pihak media.

 

Sehubungan itu, Patahiyah telah memberi jaminan, beliau akan menjawab semua pertanyaan akhbar sebaik mungkin sewaktu sesi tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika mereka masih memerlukan lebih banyak fakta, jawapannya akan diberikan pada hari berikutnya.

 

'Tiada apa untuk disembunyikan'

 

Apabila diberitahu yang pihak media tidak boleh menunggu dua minggu untuk mendapatkan jawapan dari MBPP, Patahiyah berkata maklumat yang berkaitan biasanya boleh didapati dari ketua jabatan masing-masing.

 

Ditanya jika ketua-ketua jabatan akan bersedia untuk menjawab dengan jujur, Patahiyah berkata: "Mereka perlu bercakap benar".

 

"Jika mereka tidak bercakap benar, tindakan akan diambil. Tidak ada apa untuk disembunyikan jika mereka mempunyai maklumatnya," katanya.

 

Patahiyah tidak senang apabila diberitahu mengenai dakwaan bahawa beberapa ketua jabatan merujuk pihak meda kepadanya, daripada memberikan maklumat itu sendiri.

 

Secara berseloroh, Patahiyan berkata ia seolah-olah seperti satu cubaan untuk mencemar nama baiknya.

 

"Biasanya Datuk Bandar perlu menyemak dengan ketua-ketua jabatan untuk mendapatkan data, dan tidak sebaliknya," katanya.

 

Tetapi, tambahnya, kadang-kadang kelewatan berlaku apabila ketua jabatan perlu mendapatkan kebenaran untuk memberikan data-data tertentu.

 

'Perlu masa untuk semak fakta'

 

Patahiyah mengakui bahawa Ahad lalu beliau belum bersedia untuk memberikan jawapan kepada soalan media mengenai projek pembangunan di Tanjung Bungah itu.

 

Katanya, beliau sedar bahawa pihak media juga kecewa apabila gagal mendapatkan maklumat itu daripadanya pada hari berikutnya.

 

"Pihak media perlu memahami bahawa ia adalah satu projek yang sangat besar dan saya terpaksa menyemak dengan jabatan-jabatan berkaitan untuk maklumat lanjut.

 

"Apabila saya bertanya apa yang wartawan itu ingin tahu, dia memberitahu saya butirannya. Dia sudah tahu hampir segala-galanya tentang projek itu," kata Patahiyah.

 

"Wartawan itu hanya mahu pengesahan dan dalam sesi seperti ini (sidang akhbar yang betul), saya akan bersedia dengan jawapannya," tambah beliau.

 

Katanya, dia juga mahu menjalin hubungan yang lebih baik dengan pihak media, dan berkata "Kami ingin anda menjadi mata dan telinga kami."

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS