Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi pelaksanaan hudud di Kelantan ke sesi Parlimen akan datang, dijadual pada Mei, telah dipersetujui sebulat suara selepas satu perbincangan diadakan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi.

Katanya, PAS bersetuju untuk tidak terlalu memaksa usul itu dibentangkan lebih awal sebaliknya bersedia mengikut giliran yang telah ditetapkan kerana percaya agenda negara khususnya melibatkan isu keselamatan dan keganasan perlu diutamakan pada masa ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa ada menteri yang membuat kenyataan di Parlimen bahawa akan dipanjangkan perkara ini dalam sidang akan datang.

"Maka, sebab itu, kami tak perlu tergesa-gesa dalam hal ini," kata Hadi (kanan) dalam sidang media di Rusila di Marang hari ini.

Jelas Abdul Hadi, beliau turut berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh anggota Parlimen yang beragama Islam termasuk Umno dalam perkara itu dan menganggap penerimaan terhadap hukum berkaitan Islam semakin baik berbanding dahulu.

"Keadaan sekarang tidak seperti tahun 50-an dulu. Tahun 50-an dulu, orang memomokkan undang-undang Islam ini. Tapi, perkara ini dah dianggap sebagai ilmu sejak tahun 70-an hingga hari ini termasuk berlaku perbincangan dalam Umno dan MCA juga menganjurkan seminar hudud walaupun ada kekalutan. Tapi, itulah, dia (MCA) berjaya anjur secara akademik, secara ilmu dan ini satu perkara yang sangat positif," katanya.

Abdul Hadi juga berkata DAP tidak mewakili semua bukan Islam menentang RUU tersebut kerana masih ramai yang memberi maklum balas positif berkaitan hudud.

Ada dalam kalangan orang bukan Islam tidak bersama dengan DAP dan mereka menemuinya sambil memberikan respons yang sangat positif dalam hal itu, katanya.

"Antaranya, ada yang membuat penyelidikan peringkat PhD (doktor falsafah) tentang politik di Malaysia. Mereka ini datang juga jumpa saya dan menimbulkan isu ini.

"Dua hari lepas juga ada pemberita daripada Reuters dan AFP... media Perancis datang membuat temu ramah dan saya turut diundang untuk memberi ceramah khusus di Universiti Nanyang, Singapura hujung bulan ni. Insya-Allah, mungkin isu ini akan dibangkitkan," katanya.

Abdul Hadi berkata semua ini menunjukkan respons secara berilmu pihak bukan Islam.

"Sebab itulah, saya mengingatkan DAP supaya tidak membuat kenyataan sehingga mengheret kepada anggapan bahawa dia (DAP) adalah anti-Islam dan nak bermusuh dengan orang Islam," katanya pada sidang media di Rusila di Marang hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS