Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
New Zealand bawa pulang Piala Sultan Azlan Shah

New Zealand mengejutkan juara dunia Australia 3-1 menerusi penentuan pukulan penalti untuk merangkul kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24 pada final di Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh, malam tadi.

Australia, selaku juara bertahan dan memburu gelaran kali kesembilan, gagal menyekat New Zealand apabila terikat 2-2 pada perlawanan sepenuh masa sebelum melangkah ke peringkat pukulan penalti.

Bagaimanapun, Australia, yang juga pasukan ranking nombor satu dunia, tidak bernasib baik pada penentuan pukulan penalti apabila Daniel Beale, Eddie Ockenden dan Aran Zalewski gagal menyudahkan pukulan penalti.

New Zealand, pasukan ranking keenam dunia, mencapai kejayaan buat kali kedua selepas muncul juara pada edisi 2012.

New Zealand melakukan kejutan awal apabila membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi pukulan sudut penalti oleh Andy Hayward.

Ketangkasan penjaga gol New Zealand, Devon Manchester menyaksikan Australia menghadapi kesukaran untuk menembusi gawang pasukan Kiwi sehingga suku ketiga permainan.

Bersambung babak keempat, Australia berjaya memecah kebuntuan apabila penjaring gol terbanyak Jacob Whetton melakukan jaringan padang pada minit ke-50.

Hayward terus bertindak cemerlang apabila menyumbat gol kedua New Zealand pada minit ke-58.

Australia bagaimanapun tidak mudah menyerah dan melancar serangan terakhir mereka dan berjaya mendapatkan pukulan strok yang disempurnakan oleh kapten pasukan Mark Knowles pada minit ke-60.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berkenan menyaksikan perlawanan akhir di samping menyampaikan trofi kepada pasukan New Zealand diketuai Simon Child.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, jurulatih New Zealand, Colin Batch berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya pada penentuan pukulan penalti.

Anugerah

Juara: New Zealand

Naib Juara: Australia

Pemain Terbaik: Andy Hayward (New Zealand)

Piala Permainan Bersih (Piala Raja Ashman Shah): Kanada

Penjaring Terbanyak: Jamie Dwyer (Australia) (tujuh gol)

Penjaga Gol Terbaik: Devon Manchester (New Zealand)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mark Knowles (Australia).

- Bernama

Lihat Komen
ADS