Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anak-anak kepada bekas Perdana Menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling telah mengulangi hasrat bapa mereka mengenai rumahnya di Oxley Road.

Dalam kenyataan menerusi firma guaman mereka hari ini, kedua-dua mereka berkata mendiang bapa mereka telah mewasiatkan supaya merobohkan rumah itu serta-merta selepas kematiannya.

Sekiranya Wei Ling terus tinggal di rumah tersebut, maka rumah itu perlu dirobohkan serta-merta selepas beliau berpindah dari situ.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana bersama-sama bersedih atas kematian bapa mereka, pada 23 Mac lepas, Hsien Yang dan Wei Ling berkata mereka tersentuh dengan ucapan takziah yang tidak putus-putus diterima dan penghormatan yang diberikan kepada bapa mereka.

Menurut mereka, bapa mereka melantik kedua-dua mereka sebagai wasi dan pemegang amanah wasiat terakhir dalam Wasiat Lee Kuan Yew bertarikh 17 Dis 2013.

Dalam wasiatnya, Kuan Yew menyatakan: "Saya seterusnya mengaku bahawa ia adalah hasrat saya, dan hasrat mendiang isteri saya, KWA GEOK CHOO, bahawa rumah kami di 38 Oxley Road, Singapura 238629 (Rumah) dirobohkan segera selepas kematian saya atau jika anak perempuan saya, Wei Ling, memilih untuk terus tinggal di rumah asal, dirobohan segera selepas dia keluar dari Rumah.

"Saya akan bertanya kepada setiap anak saya untuk memastikan hasrat kami berhubung dengan perobohan rumah dijalankan."

Hsien Yang dan Wei Ling berkata, bapa mereka telah beberapa kali menghebahkan hasrat ini termasuk dalam bukunya 'Hard Truths to Keep Singapore Going'.

Di samping itu, kedua-dua ibu bapa kami telah beberapa kali menyatakan hasrat yang sama berhubung dengan rumah keluarga kami kepada anak-anak mereka secara peribadi.

Menurut mereka, bapa mereka bimbang bahawa perintah mungkin dikeluarkan terhadap hasratnya.

Oleh itu, beliau memasukkan dalam Wasiat Lee Kuan Yew bahawa "Jika anak-anak kita tidak dapat merobohkan rumah akibat sebarang perubahan dalam undang-undang, kaedah-kaedah atau peraturan yang mengikat mereka, adalah menjadi hasrat saya bahawa rumah tidak dibuka kepada orang lain kecuali anak-anak saya, keluarga dan keturunan mereka."

Hsien Yang dan Wei Ling berkata mereka mempunyai tanggungjawab (sebagai wasi dan pemegang amanah Wasiat Lee Kuan Yew dan kewajipan moral (selaku anak-anaknya) untuk memastikan bahawa Wasiat Lee Kuan Yew ditadbir dengan telus.

"Bapa kami telah menumpukan seluruh jiwa raganya untuk menyumbang khidmat kepada rakyat Singapura. Kami berharap bahawa rakyat Singapura akan mematuhi dan menghormati hasratnya yang dinyatakan dalam wasiat terakhir," kata mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS