Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejumlah 11 orang terbunuh akibat kejadian tembak-menembak serta pengeboman di selatan Thailand dalam tempoh tiga hari.

Ini termasuk tujuh orang yang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam empat kejadian tembak-menembak malam semalam dan semalam, iaitu hari pertama perayaan tahun baharu Songkran.

Di Wilayah Narathiwat sahaja, lima orang maut ditembak dalam dua kejadian berasingan.

Kejadian pertama berlaku pada 9 pagi di Kampung Nada, daerah Rusak, dan mangsa dikenali sebagai Anurat Saleh, 52 tahun, doktor perubatan mukim.

Pegawai polis, Kapten Uthai Panthong berkata mangsa ketika itu dalam perjalanan ke sekolah apabila dua suspek yang menaiki motosikal melepaskan lapan das tembakan di bahagian belakang mangsa dengan pistol .9mm.

Dalam kejadian kedua yang berlaku pada 7 malam semalam, empat penganut Buddha dalam dua rumah berjiran dibunuh di daerah Sukhirin yang bersempadan dengan Jajahan Jeli, Kelantan, Malaysia.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin berkata semasa kejadian, mangsa sedang berehat di dalam rumah apabila lima hingga enam orang menembak mereka dengan senjata M16 dalam jarak dekat.

Mangsa terdiri daripada seorang ibu dan anak lelakinya dan sepasang suami isteri.

Mayat mangsa dibakar tetapi sempat dipadamkan oleh jiran mereka dan polis forensik menemui 20 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian, kata beliau.

Juga di Narathiwat, seorang anggota renjer dan dua orang awam cedera dalam satu kejadian tembak-menembak.

Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah ketika kejadian yang berlaku pada 4.50 petang tadi di Kampong Air Balo, daerah Sisakorn, Narathiwat, kata beliau.

Di Wilayah Yala pula, sepasang suami isteri mati ditembak ketika dalam perjalanan ke kebun getah.

Menurut pegawai polis, Kapten Prachaya Hedhat, kejadian berlaku pada 7 pagi tadi dan mangsa ditembak dengan pistol di bahagian kepala dalam jarak dekat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS