Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ia adalah 'langkah manis' jika PAS memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) parlimen Rompin, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Adnan berkata, UMNO mengambil tindakan sedemikian (tidak bertanding) pada PRK negeri Chempaka, kerana menghormati Mursyidul Am PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Jika PAS tidak bertanding...kerana menghormati JJ (Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis) sebagai seorang pemimpin kanan, tentunya ini merupakan tindakan manis (oleh PAS).

"Kita akan jimatkan wang, masa dan tenaga kedua-dua parti," kata beliau.

Lagipun, sekarang hanya untuk satu kerusi parlimen, kata Adnan pada sidang akhbar selepas melancarkan projek kediaman Swiss-Garden Resort Residences Sungai Karang di Kuantan Isnin.

Tentang sama ada Barisan Nasional perlu bertanding di PRK parlimen Permatang Pauh, Adnan berkata itu isu lain.

"Permatang Pauh dipegang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), bukan PAS," kata beliau.

Adnan berkata, Badan Perhubungan UMNO Pahang menyambut baik keputusan UMNO Bahagian Rompin untuk menolak sebarang calon dipilih dari luar.

Beliau bagaimanapun berkata ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti memutuskan dan seterusnya menjelaskan dengan baik sebab-sebab pemilihan itu.

Semalam, pemangku ketua UMNO bahagian itu Datuk Hasan Ariffin berkata bahagian itu hanya akan menerima calon yang dipilih dari kalangan anggota jawatankuasa bahagian.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang Jamaluddin dalam kemalangan helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.

Allahyarham Jamaluddin menjadi anggota parlimen kawasan itu selama enam penggal dari 1990.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Allahyarham menewaskan Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS