Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata, beliau tidak berniat langsung untuk merebut jawatan menteri besar Kedah, yang kini disandang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau menangkis dakwaan bahawa seruannya agar Mukhriz meletak jawatan itu mengandungi niat peribadi.

Sebaliknya, kata Ahmad (kanan), seruannya kepada Mukhriz itu dibuat atas prinsip menjaga perpaduan dalam parti.

Katanya beliau tidak mempunyai niat langsung untuk merebut jawatan tersebut memandangkan kuasa melantiknya adalah hak Najib selaku presiden Umno.

"Jawatan MB tu hak perdana menteri. Bukan kita. Itu hak beliau. Kalau saya desak pun, dia kata bukan saya yang jadi MB, (tak jadilah).

"Kalau saya niat, beliau tak lantik, tak jadi juga," kata Ahmad menjawab teguran ketua Umno bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee semalam.

Syed Ali mendakwa, Ahmad mungkin mempunyai agenda peribadi dan mungkin mengidamkan jawatan menteri besar kerana mendesak Mukhriz melepas jawatan jika gagal menyatakan sokongan kepada Najib.

Syed Ali turut menggesa semua pihak berhenti memberi tekanan kepada Mukhriz supaya berseteru dengan bapanya yang sejak kebelakangan ini giat mengkritik perdana menteri. 

Ketua Umno Cheras itu mengulas tindakan Ahmad membuat desakan itu kerana Mukhriz masih tidak menyatakan sokongan kepada perdana menteri selepas pertemuan di antara pemimpin Umno Kedah minggu lalu.

Sikap yang akan ditunjukkan Mukhriz selepas kritikan keras bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib itu dijangka akan memberi kesan besar kepada perpaduan dalam Umno Kedah.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata desakannya juga tidak bermaksud supaya Mukhriz “menderhaka” bapa sendiri.

"Kalau kita sokong ketua parti, parti akan jadi kuat. Kita faham (Mahathir) ini bapa kamu. Tapi ia bukan soal derhaka.

"Dalam politik kita kena tahu prinsip menjaga rakyat dan negara. Tapi ini soal parti. Sokong sajalah, bukannya payah, kenapa hendak tangguh-tangguh," katanya.

Umno Kedah bakal mengadakan pertmuan sekali lagi pada 24 April bagi menyatakan sokongan bulat ke atas kepimpinan perdana menteri.

Ahmad berkata, tempoh tersebut terlalu lama kerana para MP yang akan turut serta adalam pertemuan 24 April itu juga sudah menyatakan sokongan padu ke atas Najib.

"Jadi hendak hendak tunggu-tunggu, dalih-dalih lagi. Sokong sajalah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS