Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas drama tempatan Nur Kasih mendapat sambutan hangat, beberapa penerbit mula mengetengahkan filem Islamik sebagai pilihan dalam percaturan bisnes mereka. Namun begitu, produksi tersebut amat terburu-buru dan kurang kreatif berdakwah.

Terdapat beberapa elemen klise dan longgar sama ada dalam penulisan skrip atau ideologi yang dibawakan. Adunan filem Islamik sering memaparkan elemen cinta dan ketakutan dalam beragama.

Seperti filem dan drama Nur Kasih sendiri, ianya tidak lebih daripada kisah cinta mengkhayalkan walaupun saya akui ada diselit elemen keagaaman di dalamnya. Namun, cara hidup orang Melayu Islam lebih banyak ditonjolkan berbanding Islam itu sendiri. Drama dan filem Islamik ketika ini kebanyakannya kosong, makala mesej yang cuba disampaikan diambil mudah.  

Lihat pula siri Penggali Kubur yang dihasilkan lebih untuk menakut-nakutkan penganut Islam sambil terlalu menekankan balasan alam kubur berbanding mengetengahkan keindahan Islam.

Islam lahir dengan cinta

Islam lahir bukanlah dengan menakut-nakutkan penganutnya. Islam lahir dengan cinta dan ia dibuktikan dengan sifat Allah mencintai semua orang tanpa mengira bangsa.  Allah mecintai semua hamba-Nya walaupun individu itu adalah pendosa.

Kita pernah dikhabarkan tentang kisah seorang pelacur yang masih mampu ke syurga hasil perbuatan baik di penghujung nyawanya. Begitu pula kisah Bilal bin Rabah yang dipandang hina oleh masyarakat Arab kerana keturunannya, tetap mempunyai kedudukan mulia dalam Islam.

Selanjutnya, filem dakwah tidak semestinya bertajuk Nur Kasih, Dalam Mihrab Cinta , Ketika Cinta Bertasbih atau Ustaz Mu Tunggu Aku Datang .

Sesebuah filem tetap dianggap Islamik tanpa perlu menggunakan latar belakang kehidupan pondok, watak pemuda kacak berperibadi ustaz, watak ustazah berpakaian seperti di Gurun Sahara, suasana kampung, kehidupan bandar sebagai kehidupan yang menghancurkan, dan berbagai lagi elemen klise.  

Filem dakwah Islam boleh sahaja menggunakan konsepk seperti dilem PK, My Name is Khan, dan berbagai produksi lain yang berjaya menonjolkan asas Islam dan bukan penganutnya.

Izinkan saya berkongsi petikan ungkapan seorang pendakwah, Emran Ahmad mengenai filem bertema Islam dan cinta: "Kesilapan paling besar anak-anak muda sebelum melangkah kaki ke alam rumahtangga ialah terlalu banyak berangan dan berfantasi indah-indah sehingga mereka tidak bersedia menghadapi cabaran di dalamnya."

Hindari pencandu agama

Filem PK banyak mengetengahkah fundamental Islam, seperti upacara keagamaan yang boleh dilakukan tanpa perlu membazir, atau memberi makan orang miskin dan anak yatim lebih mulia dan berpahala. Agama adalah berbuat baik kepada orang lain, dan bukan bermegah-megah dengan upacara keagamaan.

PK juga mengajar bahawa pencandu dan penjual agama sepatutnya dihindari setiap penganutnya, sama ada mereka beragama Islam atau lain.

Filem My Name Is Khan pula mendidik penonton supaya memahami Islam bukan agama ganas. Selain itu ia juga berjaya memaparkan beberapa ciri Islam yang indah.

Di Barat, penerbit filem sering mengetengahkan ideologi - termasuk anti-Islam, Marxisme, liberalisme, feminisme dan sebagainya - secara licik seperti dapat kita saksikan dalam X-Men, The Purge, Planet of the Apes,  Maleficent, Frozen, The Matrix dan lain-lain.

Sebagai penganut Islam, kita perlu menghasilkan filem yang menghantar mesej secara halus dan bukannya kisah cinta yang melembikkan umat. Melalui filem, kita boleh menerapkan persoalan seperti Siapakah Tuhan sebenarnya, bagaimana sifat ketuhanan atau apakah tauhid yang dibawa oleh surah al-Ikhlas.

Filem juga membolehkan pengkarya mendidik penonton mengenai kepentingan masa dan siapakah manusia yang "sesungguhnya berada dalam kerugian."


MUHAMMAD MUSODDIQ

Lihat Komen
ADS