Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti cadang umat Islam bayar zakat dikecuali GST
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 11:50 AM
Dikemaskini: 2:16 PM

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohammad Al Bakri mencadangkan supaya umat Islam yang membayar zakat dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau kadarnya dikurangkan.

Zulkifli, dalam satu catatan Facebook semalam, mencadangkan pengecualian tersebut atau satu mekanisma khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga membebankan mereka.

Beliau juga mahu wang yang dikutip melalui cukai baru itu diperuntukkan untuk tujuan pembangunan.

Manakala ketelusan, integriti dan amanah, tegasnya, perlu dipertingkatkan bagi mereka yang terbabit dalam urusan GST.

"Rakyat jelata dan orang ramai begitu ternanti-nanti ingin melihat hasil daripada percukaian GST, akan dibaikpulih kualiti sistem pengangkutan awam, kemudahan awam, pembelajaran dan lain-lain yang bersifat maslahah ‘ammah," katanya lagi.

Zulkifli, seorang ulama terkenal berkata beliau telah membawa perkara itu kepada pihak berkuasa berikutan kegusaran dan kegelisahan di kalangan masyarakat mengenainya.

Menjawab soalan pembaca Facebook itu, sama ada Zulkifli bertemu dengan perdana menteri bagi membincangkan perkara itu, pentadbir Facebook mufti itu menjawab, telah ada beberapa perjumpaan mengenai perkara itu.

"Sebelum dimaklumkan di Facebook, telah ada beberapa perjumpaan dalam mesyuarat kabinet tentang hal ini," kata pentadbir Facebook mufti WP itu.

                                                                      

Pada masa ini, umat Islam membayar zakat pada kadar 2.5 peratus daripada simpanan mereka, termasuk barang kemas, harta yang mereka miliki dan keuntungan daripada perniagaan.

Ini di samping zakat fitrah yang wajib dibayar pada bulan Ramadan. Kutipan daripada sumbangan tersebut digunakan untuk membantu umat Islam yang miskin.

'Orang miskin perlu dikecualikan'

Najib mengumumkan pada awal bulan ini bahawa GST adalah 'halal'. Pelaksanaan GST berkuatkuasa pada 1 April.

Mufti WP itu juga menggesa kerajaan supaya mengelakkan kekeliruan dalam pelaksanaan GST.

"Mekanisma dan cara pungutan dan pengagihan perlu selamat daripada sebarang unsur penindasan dan orang miskin dikecualikan daripada dibebani dengan cukai.

"Begitu juga mekanisma supaya tidak berlaku eksploitasi orang yang tidak bertanggungjawab yang perlu dikawal sebaik mungkin agar kemaslahatan terzahir," tambahnya.

Beliau juga menggesa kerajaan supaya mengenal pasti beberapa barangan atau perkhidmatan yang semestinya tidak dikenakan GST, terutama yang bersifat ta’awun seperti takaful dan lain-lain.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya memantau harga di setiap peringkat dari semasa ke semasa sama ada di peringkat pemborong, pengilang, mahupun peruncit, bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS