Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas TMB Pahang calon BN di Rompin
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 12:55 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamakan bekas timbalan menteri besar Pahang, Datuk Hasan Arifin sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Rompin.

Muhyiddin mengumumkan pemilihan Hasan yang juga pemangku ketua bahagian Umno Rompin, di satu majlis di pusat gerakan pilihan raya kecil BN hari ini.

Pilihan raya kecil Rompin, yang dijadualkan pada 5 Mei, diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Jamaluddin Jarjis pada 4 April dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin, yang juga pengerusi PR1MA, mengekalkan kerusi itu dengan menewaskan calon PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Dalam usianya yang kini mencecah hampir 56 tahun, Hasan pernah menjadi timbalan menteri Besar Pahang pada tahun 1995 hingga 1999.

 

Hasan kemudian menjadi ketua pemuda Umno bahagian Pekan pada 1984 sebelum beralih ke Rompin, memegang jawatan yang sama pada 1986.

 

Hasan yang diberikan kepercayaan menerajui Umno bahagian Rompin pada 1990-2004, pernah menjadi ADUN Bukit Ibam dan anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata, bagi menunaikan tanggungawab yang menuntut kepada gerak kerja yang lebih kuat, BN mengetengahkan tokoh politik yang berpengalaman dan tidak asing lagi bagi penduduk Rompin.

"Pucuk pimpinan parti telah memutuskan Hasan paling sesuai dan layak untuk bertanding mewakili BN di Parlimen Rompin atas banyak faktor, salah satunya pengalamannya cukup banyak dalam urusan dan pentadbiran parti dan kerajaan," katanya.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, dan Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Seri Maznah Mazlan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Muhyiddin berkata Hasan juga merupakan seorang tokoh yang telah melalui pelbagai peringkat jawatan dalam Umno, dan pernah memegang jawatan sebagai bekas timbalan menteri besar Pahang.

Berbekalkan pengalaman selama tiga penggal menjadi anggota dewan Undangan Negeri (Adun) Rompin, dan Bukit Ibam selama dua tiga penggal bermula 1982, selain pernah menjadi Exco kerajaan negeri, Hasan diyakini calon yang paling layak untuk mengangkat Rompin ke tahap yang lebih tinggi, kata Muhyiddin.

"Jadi kita fikir adalah sesuai untuk beliau meneruskan tradisi yang telah dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kerana penerimaan penduduk tempatan adalah baik dan saya rasa ini adalah pilihan tepat," katanya.

 

Lihat Komen
ADS