Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Penuhi MOU atau berdepan tindakan undang-undang'
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 4:14 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Hindraf berkata mereka bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak penuhi memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani sebelum pilihan raya umum ke-13.

Hari ini, Hindraf dalam surat kepada Najib, bertanyakan tentang kemajuan berhubung perjanjian itu sejak dua tahun lepas.

"Ini merupakan kontrak yang sah dan mempunyai kuatkuasa undang-undang. Najib terikat untuk mematuhi syarat-syarat kontrak," kata Penasihat Hindraf N Ganesan sambil menambah kegagalan berbuat demikian akan dianggap sebagai melanggar kontrak.

Ganesan menegaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini sempena ulang tahun kedua MOU itu ditandatangani.

MOU itu ditandatangani beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 8 Mei 2013 di mana perdana menteri berjanji untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Sebagai pertukarannya, Hindraf menggesa kaum India menyokong BN memperolehi kembali penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Selepas kemenangan tipis BN, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, selepas lapan bulan, beliau meletakkan jawatan, dan menyalahkan kerajaan dan Najib kerana didakwanya tidak memenuhi janji mereka seperti yang diikrarkan dalam MOU itu -  satu pelan tindakan lima tahun untuk kemajuan masyarakat India yang terpinggir.

Ganesan membidas dakwaan penyokong Najib ekoran konfrontasi terbuka antara Najib dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa banyak telah dilakukan untuk kaum India.

"Ada yang memberi komen bahawa beliau lebih banyak membantu kaum India daripada mana-mana perdana menteri sebelum ini," katanya.

Sebaliknya, kata Ganesan, terma-terma dalam MOU itu bukan hanya menggesanya melakukan lebih banyak daripada PM sebelumnya, tetapi juga menghasilkan penyelesaian yang kekal dan menyeluruh untuk masyarakat India yang miskin dan terpinggir.

Katanya, jika Najib terus mengabaikan MOU itu untuk tahun kedua berturut-turut, pihaknya akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS