Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peserta protes berbasikal Kita Lawan mula berkumpul berdekatan dengan Dataran Merdeka untuk memulakan kayuan.

Pada jam 4.30 petang ini, kira-kira 15 peserta kelihatan berada di situ bersama-sama dengan basikal masing-masing.

Rata-rata mereka memakai baju warna hitam dengan tulisan merah di depan berbunyi "kita lawan sampai menang".

Turut kelihatan dua kereta peronda polis di seberang Dataran Merdeka untuk memantau keadaan.

Manakala sekitar 10 anggota polis beruniform kelihatan sedang memerhatikan keadaan dari jauh.

Kira-kira jam 4.35 petang, para peserta protes itu kelihatan sedang memakai helmet masing-masing untuk memulakan kayuan.

Turut menyertai kayuan tersebut ialah anak perempuan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha, yang memakai helmet bertulisan 'Kita Lawan'

Ketika ditemui Malaysiakini, Nurul Nuha berkata, kayuhan basikal itu merupakan salah satu cara menunjukkan protes Kita Lawan.

Menurut, beliau menyokong penuh kayuan basikal pada hari ini.

Sementara itu, dua anggota polis. termasuk seorang berpangkat inspektor, kelihatan menghampiri kumpulan tersebut dan bertanya kenapa mereka berada di situ.

Sekretariat Kita Lawan berkata mereka berada di situ untuk melakukan 'exercise'.

Apabila ditanya anggota polis tersebut ke mana hendak pergi, mereka menjawab 'tak tahu nak pergi mana'.

Sementara itu, pengarah strategi Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir berkata mereka akan berhenti di Sogo dan KLCC sebelum berpatah balik ke dataran.

Menurutnya, protes tersebut adalah untuk anak muda, supaya cukai ke atas aktiviti sukan dan barangan sukan dihapuskan.

Mereka memulakan kayuan sekitar jam 5 petang dalam kumpulan seramai kira-kira 20 orang.

Malaysiakini menemui inspektor berkenaan untuk bertanya sama ada kumpulan itu melakukan sebarang kesalahan berada di situ.

Beliau menjawab ia bukan satu kesalahan tetapi beliau cuma khuatir sekira mereka tidak memakai peralatan keselamatan diri ketika berbasikal seperti helmet.

"Tak jadi kesalahan untuk berbasikal beramai-ramai," katanya.

Bagaimanapun, mereka tidak jadi berhenti di Sogo kerana hujan rintik dan meneruskan kayuhan memasuki Jalan Raja Laut menuju ke KLCC.

Dari KLCC mereka menuju ke Bukit Bintang dan berhenti di depan sebuah hotel di sebelah Pavilion, sambil menyanyikan 'buruh tani', rasa sayang, serta melaungkan berulang-ulang slogan 'Tolak GST' dan 'Hidup Rakyat'.

Mereka berhenti berhampiran depan hotel selama 15 minit, dan kelihatan ada yang pergi membeli minuman.

Selepas itu mereka meneruskan kayuhan menghala ke arah Puduraya, sambil mengayuh basikal, mereka melaungkan slogan 'Tolak GST' dan 'Hidup Rakyat'.

Dari Puduraya mereka menghala ke stesen KTM Kuala Lumpur dan tiba semula di dataran Merdeka kira-kira jam 6.20 petang.

Mereka berhenti dan berhimpun di tempat awal tadi sambil menyanyi lagi 'Kita Lawan" bertepuk tangan menandakan kayuhan sudah tamat.

Mereka turut mengibarkan sepanduk berwarna hitam dengan bertulisan 'Kayuh bantah GST, #Kitalawan'.

Sementara, Akmal memberitahu pemberita bahawa kayuhan Kita Lawan merancang untuk mengadakan aktiviti kayuhan basikal di Pahang dan Pulau Pinang minggu depan, masing-masing sempena pilihan raya kecil Rompin dan Permatang Pauh.

Peserta kayuhan sejauh 13km petang ini bersurai secara aman pada kira-kira jam 6.35 petang.

Lihat Komen
ADS