Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Perkara biasa tak bincang RUU persendirian

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak menjadi masalah untuk mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian berkaitan pelaksanaan hudud tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan kepimpinan PAS.

“Ini perkara biasa. Saya pun pernah kemukakan usul sama pada tahun 96… (masa itu) tak bawa dalam mesyuarat (PAS) pun” kata presiden PAS dalam satu sidang media di MPAJ hari ini.

Semalam MP Shah Alam Khalid Samad mendakwa Hadi Awang membelakangi saf kepimpinan parti itu berhubung pembentangan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat tanpa berbincang dengan pemimpin PAS lain.

Menurut Khalid, Setiausaha Agung Mustafa Ali dan dia sendiri langsung tidak mengetahuinya sebelum Abdul Hadi mengemukakan RUU Persendirian itu. 

Hadi turut menegaskan bahawa Kelantan mempunyai hak untuk berunding dengan kerajaan pusat mengenai pelaksanaan Hudud.

Katanya lagi,  perkara berkaitan dengan hal-hal agama Islam, PAS telahpun lama membuat perjanjian dengan DAP dan PKR beberapa tahun dahulu.

“Kelantan ada hak sendiri untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Apa yang berlaku ialah Kelantan telah mengemukakan perkara itu dan Kelantan juga berunding dengan kerajaan pusat.

“Macam Pulau Pinang berunding pasal Jambatan Kedua dengan kerajaan pusat, tak kan hal syariah Kelantan tidak boleh berunding dengan kerajaan pusat?” kata Hadi.

Sementara itu, Hadi turut menyangkal dakwaan bahawa dia telah berjumpa dengan bekas Menteri Besar Selangor Khalid di Mesir untuk berbincang mengenai perkara pengembalian kuasa Khalid.

Katanya, beliau hanya berjumpa dengan ulama dan ahli akademi untuk berbincang pasal perpaduan ummah di rantau Asia Tenggara.

“Walaupun kita beza pandangan di kalangan guru-guru Islam, kita tetap memilih demokrasi berparlimen walaupun ia masih ada kelemahan yang kita tidak setuju.

“Kita tak mahu ada campur tangan asing berlaku di negeri kita,” kata Hadi sebagai menjawap soalan wartawan mengenai tujuan lawatannya ke Mesir.

Lihat Komen
ADS