Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengawal terlibat amuk tak ada rekod jenayah
Diterbitkan:  Apr 18, 2015 7:55 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

Pengawal keselamatan yang mengamuk sehingga membunuh seorang pegawai bank di Taman Molek, di Johor Bahru, semalam, didapati tidak memiliki rekod jenayah dan negatif saringan dadah.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 44 tahun itu yang kini direman selama seminggu didapati mula bekerja di bank berkenaan tahun lepas.

"Dari siasatan awal, suspek mula bekerja di bank tersebut pada 24 Januari tahun lepas. Dia tidak mempunyai lesen senjata api dan hanya bertugas sebagai pengawal statik bangunan serta kawasan parkir kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat isteri dan keluarga pegawai bank berkenaan, Ho Chin Tau, di Tampoi, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, Ho, 33, maut selepas ditikam menggunakan pisau manakala rakan sekerja wanitanya yang berumur 54 tahun cedera dilibas oleh pengawal keselamatan itu yang mengamuk secara tiba-tiba.

Mohd Mokhtar berkata pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan.

Beliau berkata siasatan meliputi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank dan rumah suspek, selain daripada merekod keterangan syarikat kawalan

keselamatan yang menggaji suspek, pengurus serta pekerja bank berkenaan.

Katanya polis memberi jaminan kepada keluarga mangsa untuk mempercepatkan siasatan supaya suspek diadili segera dan akan meminta bantuan polis Bukit Aman dalam melakukan siasatan.

Ditanya mengenai dakwaan suspek mengalami masalah mental, Mohd Mokhtar menegaskan perkara itu masih di dalam siasatan polis dan pihak hospital.

Polis sehubungan itu meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

Mohd Mokhtar dalam pada itu berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama 14 syarikat kawalan keselamatan di negeri ini, Isnin ini.

"Perbincangan yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim akan membincangkan pelbagai perkara termasuk pemeriksaan syarikat keselamatan," katanya menambah polis pernah memeriksa syarikat kawalan yang menggaji suspek pada 25 Januari lepas.

Sementara itu, bapa mangsa, Ho Guan Bee, 62, enggan mengulas lanjut kepada pemberita mengenai kematian anaknya dan hanya memaklumkan beliau tiba dari Tawau, Sabah, hari ini selepas menerima berita kejadian, semalam.

Isteri mangsa, yang difahamkan berumur 34 tahun dan sedang mengandung lima bulan anak sulung hasil perkahwinan lima tahun pasangan itu, juga enggan ditemui pemberita kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS