Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hudud di K'tan, PAS tak bincang keluar Pakatan
Diterbitkan:  Apr 19, 2015 1:28 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

PAS tidak pernah berbincang mengenai kedudukan parti itu dalam Pakatan atau berhasrat keluar daripada gabungan parti pembangkang itu selepas pembentangan pindaan enakmen hudud di Kelantan, kata Pemangku Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibincangkan sekiranya DAP membuat keputusan untuk menarik diri atau PAS ditendang keluar daripada Pakatan, lapor akhbar BH Ahad hari ini  

Dalam wawancaranya dengan akhbar itu, beliau yang juga anggota Majlis Syura Ulama berkata setakat ini badan itu dan Dewan Ulama PAS tidak pernah bincang mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan.

"Kita juga tidak bincang mengenainya walaupun DAP secara terang mengecam kepimpinan presiden PAS sehingga DAP menyuarakan hasrat mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan BN sebagai tindak balas dan rasa tidak puas hati terhadap PAS.

"Kita tidak bincang perkara itu atau cuba membawa keluar PAS daripada Pakatan kerana kita mahu yakinkan ahli bahawa kita konsisten.

"Kecuali dia (DAP) buat keputusan untuk tarik diri daripada Pakatan atau menendang PAS keluar daripada Pakatan, baru kita akan menjawabnya," katanya dalam wawancara itu.

Beliau menjawab soalan berhubung sejauh mana hubungan PAS dengan DAP dan PKR khususnya selepas kerajaan Kelantan membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bulan lalu.

Kemelut PAS dan DAP semakin meruncing apabila parti Islam itu meluluskan enakmen undang-undang hudud di Kelantan serta  ingin membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen.

Malah, PAS juga mendapat tekanan daripada DAP supaya meninggalkan Pakatan sekiranya Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih berkeras untuk membentangkan rang undang-undang persendirian pelaksanaan hudud di Kelantan.

DAP juga membuat keputusan untuk memutuskan semua hubungan dengan Hadi atas pendirian bahawa PAS tetap untuk meneruskan agenda hudud tersebut.

Lihat Komen
ADS