Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tiga daripada lima PAS kawasan di Pulau Pinang yang mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini mencalonkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden parti itu pada pemilihan parti Jun ini.

PAS kawasan Bayan Baru, Balik Pulau dan Nibong Tebal turut sebulat suara menamakan Pesuruhjaya PAS Pahang sebagai calon timbalan presiden.

Dua lagi PAS kawasan yang bermesyuarat hari ini iaitu Permatang Pauh dan Jelutong menangguhkan mesyuarat mereka untuk pemilihan parti itu.

PAS kawasan Jelutong akan mengadakan mesyuarat pemilihan parti minggu hadapan manakala PAS Permatang Pauh belum menetapkan tarikh mesyuarat mereka.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bayan Baru Iszuree Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata Abdul Hadi dicalon untuk terus menerajui parti itu berikutan ketegasan dan kelantangannya dalam mempertahankan Islam.

"Beliau seorang yang tegas dalam hal-hal berkaitan Islam dan sentiasa mempertahankan Islam. Ketegasannya ini telah dibuktikan oleh beliau sendiri dalam beberapa isu yang dibangkitkan kebelakangan ini.

"Kami tidak mahu pemimpin yang lembik, tidak tegas, samar-samar memimpin parti...jika pemimpin pun tidak tegas maka ahli-ahlinya pun akan turut sama," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS