Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata kepimpinan PAS pusat mengarahkan jentera parti empat buah negeri di utara supaya membantu PKR mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya kecil 7 Mei ini.

Beliau menegaskan arahan kepada jentera PAS Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS pusat pada 13 April lalu dan tiada arahan baru dikeluarkan.

"PAS akan membantu calon Parti Keadilan Rakyat yang mewakili Pakatan Rakyat di Permatang Pauh

"Oleh itu, semua jentera pilihan raya dari negeri-negeri tersebut hendaklah membantu Pakatan Rakyat di Permatang Pauh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini , pemimpin PAS yang mesra dipanggil Abang Mat, berkata arahan tersebut terpakai sehingga ada arahan baru atau pengarahan lain yang dikeluarkan daripada kepimpinan PAS pusat

"Semua mesti mematuhi arahan ini sekalipun terdapat pandangan berbeza yang disuarakan oleh pemimpin akar umbi di Permatang Pauh," kata Mohamad yang juga pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Beliau merujuk kenyataan PAS Kawasan Permatang Pauh semalam yang memberi kata dua kepada PKR supaya menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada pilihan raya kecil itu.

    

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan tempoh hingga hari penamaan calon, 25 April ini, sambil menuntut PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pihaknya tidak akan menarik balik kenyataan itu kerana sudah banyak kali mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS termasuk Omar dan mereka komited membantu jentera PKR pada pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandanganya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota parlimen selepas didapati bersalah dalam kes liwat II.

Lihat Komen
ADS