Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Harga naik kerana peniaga tak tuntut cukai'
Diterbitkan:  Apr 20, 2015 5:30 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Peniaga yang layak tetapi tidak menuntut Pembayaran Balik Khas Cukai Jualan atas stok dalam tangan adalah antara punca kenaikan harga barangan ketika ini, kata Pengarah Bahagian CBP Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk T Subromaniam.

Beliau berkata daripada 75,000 peniaga yang layak, hanya tiga yang sudah menuntut cukai itu dengan jumlah tuntutan sebanyak RM93,837.

Katanya di bawah Seksyen 190 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pembayaran balik itu dibenarkan bagi mengelak kesan cukai dua kali atas stok barangan dipegang yang tertakluk kepada cukai jualan lima atau 10 peratus selepas CBP dilaksanakan pada kadar enam peratus.

"Ramai peniaga tidak mahu tuntut cukai jualan dan mungkin itu sebab kenapa kenaikan harga barangan ketika ini kerana peniaga tidak keluarkan elemen cukai jualan daripada stok mereka yang sedia ada, tetapi menambah lagi CBP.

"Mungkin juga mereka mereka salah tafsir undang-undang. Kalau mereka tidak mahu tuntut saya ingin nyatakan itu langkah yang amat tidak wajar," katanya pada sidang media CBP bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Subromaniam berkata JKDM dan KPDNKK akan menjalankan audit ke atas premis perniagaan sebaik sahaja stok dalam tangan mereka habis dijual bagi memastikan mereka menurunkan harga barangan.

"Audit itu akan bermula bulan depan sebab stok dalam tangan ini ada yang boleh habis dalam seminggu, dua minggu atau sebulan bergantung kepada jenis perniagaan. Kalau pasar raya mungkin dua atau tiga hari sudah habis," jelasnya.

Sementara itu, Alias berkata peniaga yang gagal menurunkan harga barangan selepas stok dalam tangan mereka habis dijual dan didapati terdapat elemen mencatut, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan     Antipencatutan 2011.

"Individu yang didapati bersalah boleh didenda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali, atau denda RM500,000 ke atas syarikat bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua," katanya.

Kategori perniagaan yang layak menuntut Pembayaran Balik Khas Cukai Jualan adalah perniagaan 'perdagangan' seperti pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan kedai alat ganti serta pengilang yang masih mempunyai bahan mentah yang belum digunakan dalam pengilangan selepas pelaksanaan CBP.

Subromaniam berkata syarat utama kelayakan tuntutan ialah peniaga berdaftar wajib di bawah CBP, memegang stok dalam tangan pada 1 April 2015 dan invois belian telah dibayar selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pelaksanaan CBP.

Katanya tuntutan di bawah RM10,000 hanya memerlukan sijil audit daripada mana-mana akauntan bertauliah, manakala tuntutan RM10,000 ke atas memerlukan sijil audit oleh juruaudit diluluskan di bawah Akta Syarikat 1965.

Tuntutan boleh dibuat secara dalam talian di www.gst.com.my.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata sehingga semalam sebanyak 371,787 perniagaan sudah berdaftar dengan CBP.

- Bernama

Lihat Komen
ADS