Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wakil penduduk yang menuntut salib sebuah gereja diturunkan di Petaling Jaya berterima kasih kepada wakil gereja tersebut kerana memberi kerjasama yang baik.

Salah seorang penduduk Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, wakil gereja tersebut yang dirujuknya sebagai “Madam Victoria” sangat memahami dengan sensitiviti penduduk setempat.

O leh sebab itu, katanya, selepas perhimpunan diadakan, gereja tersebut menurunkan salib di bangunan berkenaan.

"Madam Victoria sangat memahami dengan sensitiviti kita. Kami meminta Madam Victoria untuk menurunkan salib dan dia setuju. Dia kata akan turunkan dalam hari Isnin tetapi dia turunkan dua jam selepas (perhimpunan) itu.

"Kami mengadakan perbincangan dengan baik bersama pihak gereja.

"Jadi, saya nak berterima kasih pada Madam Victoria untuk tindakan segeranya itu. Tindakan yang bagus oleh pihak gereja kerana memahami," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berjumpa dengan Datuk Bandar Petaling Jaya di lobi bangunan Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Kenyataan politik Azmin

Selain itu, ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang mengatakan tindakan mereka menghina agama lain, Abdullah berkata ia hanya suara penduduk setempat.

Sambil mengatakan Azmin ( bawah ) membuat kenyataan politik, Abdullah menjelaskan kehadirannya semalam untuk memastikan keadaan terkawal dan tiada insiden tidak diingini.

Malah, katanya, kehadirannya bersama beberapa wakil penduduk bukan mewakili parti politik tetapi sebagai penduduk Taman Medan selama puluhan tahun.

"Itu orang politik dan itu adalah kenyataan politik. Kami bukan (ahli politik). Kami ialah sebahagian daripada penduduk. Kenyataan mereka (ahli politik) adalah untuk menjadikan perkara lebih teruk.

"Kumpulan perhimpunan itu sebenarnya mahu perkara itu diselesaikan. Dan sekarang mereka di bawah kawalan. Tiada isu. Kerana ini merupakan kepakaran kami, menjadikan perkara ini kecil dan selesaikannya. Sebab tiada siapa yang nak mendengar suara mereka.

"Jangan letakkan beban pada kami tetapi ambil inisiatif untuk selesaikan isu ini," katanya.

Bandaraya rujuk negeri

Sementara itu, ditanya mengenai respon Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain selepas mengadakan pertemuan bersama, Abdullah berkata, isu gereja tersebut akan dibawa kepada kerajaan negeri.

"Datuk bandar beritahu, perkara ini akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri. Jadi kita tunggu sahajalah," katanya lagi.

Semalam, kira-kira 50 penduduk Taman Medan berhimpun di bangunan rumah kedai di mana gereja itu ditempatkan.

Mereka turut membawa plakad antaranya bertulis "wakil rakyat Taman Medan tidur".

Selepas perhimpunan itu selesai, pihak gereja tersebut kemudian menurunkan tanda salib yang digantung di bangunan itu.

Lihat Komen
ADS