Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam cadang Tun M ketuai hisbah
Diterbitkan:  Apr 20, 2015 5:44 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik mengetuai badan bebas bagi memantau pentadbiran negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Husam berkata, jika bekas perdana menteri itu berani bersuara dalam isu pelbagai seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) paling tidak "kemungkaran" itu dapat dihentikan walau apa pun motifnya.

"Atas dasar itu, kenapa tidak kita membantu beliau dalam isu ini?" katanya.

Husam yang pernah menjadi exco kanan dalam kerajaan Kelantan sebelum diketepikan menteri besar baru negeri itu berkata, satu daripada penegasan pelaksanaan hukum hudud ialah menyelamatkan harta termasuk milik awam.

"Dalam kes 1MDB, berapa besar jumlah wang awam yang menjadi pertaruhan?" katanya.

Menurut Husam, isu 1MDB bukanlah salah guna kuasa pertama yang menyebabkan kerugian besar negara.

Dengan keberanian Dr Mahathir, kata Husam, PAS boleh membantu bekas perdana menteri berkenaan dalam usahanya mengatasi krisis itu.

Katanya, Dr Mahathir perlu bergerak setapak ke depan menggagaskan suatu mekanisme bagi menghentikan kesilapan walaupun dilakukan oleh siapa saja atau mana-mana parti.

Tanpa mekanisme itu, kata Husam, penyalahgunaan kuasa boleh berulang dan rakyat tidak dapat memperbetulkannya.

Justeru Husam mencadangkan penubuhan hisbah bagi memantau perjalanan pentadbiran kerajaan,

"Tun M sebagai pengerusi pertama? Saya sedia menyokongnya," katanya.

Lihat Komen
ADS