Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Pmtg Pauh antara kawasan paling diabaikan
Diterbitkan:  Apr 21, 2015 3:54 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Pengundi di Parlimen Permatang Pauh perlu menyedari kebajikan mereka telah diabaikan oleh anggota Parlimennya selama ini dan kini adalah masa untuk mengubahnya, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

    

Beliau berkata pengundi di kawasan parlimen itu yang akan mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) 7 Mei depan perlu menolak isu yang tidak membawa sebarang kepentingan kepada mereka.

    

"Saya berharap rakyat di Parlimen Permatang Pauh akan dapat melihat tanggungjawab sebagai Anggota Parlimen adalah mendahulukan rakyat di kawasannya... itu adalah kewajipan mereka," katanya pada pemberita di sini, hari ini.

    

Mukhriz, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, sebelum itu merasmikan majlis 'Garis Mula Institut Keusahawanan Negara' (INKSKEN) di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon hari ini.

    

Umno Kedah, katanya, akan berusaha gigih dalam meyakinkan pengundi di Permatang Pauh supaya menolak isu yang tidak membawa sebarang faedah kepada mereka.

Kata Mukhriz, memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan 'underdog' pada PRK Permatang Pauh, pendekatan yang digunakan haruslah berbeza berbanding PRK Parlimen Rompin.

    

Beliau berkata reaksi PAS pada PRK Permatang Pauh juga menarik untuk dilihat terutama sekali selepas rakan-rakan 'Tahaluf Siyasinya (kerjasama politik)', PKR dan DAP, menolak bulat-bulat cadangannya untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

    

Persoalannya, adakah PAS akan bersama-sama PKR dan DAP di Permatang Pauh.

    

"Saya hendak tengok keikhlasan PAS. Apabila hudud yang diperjuangkannya ditolak oleh rakan-rakan pembangkang, adakah mereka terus membekalkan tukang-tukang kempen," kata Mukhriz.

    

Mengenai PRK Rompin pula, beliau menyifatkan pemilihan Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin sebagai calon BN merupakan pilihan yang sangat tepat.

Beliau berharap pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepada Hasan yang dikenali sebagai 'orang lama' di situ untuk berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Rompin.

    

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Mukhriz berkata Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Perdana Menteri meluluskan RM49.5 juta geran dana mudahcara bagi membiayai 18 projek oleh usahawan di Kedah.

    

Pelaksanaan projek usahawan tempatan itu telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Kedah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini, katanya.

    

Selain itu, kata menteri besar, Teraju juga memperuntukkan RM8 juta kepada Kedah menerusi Koridor Ekonomi Utara untuk pembangunan usahawan mikro di negeri ini.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS