Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kredibiliti kerajaan dipertikai, kata bekas menteri
Diterbitkan:  Apr 21, 2015 4:13 PM
Dikemaskini: 8:35 AM
Kerajaan terus mendapat tekanan supaya tidak berdiam diri, sebalikya menjawab segala dakwaan dikemukakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Hari ini bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar pula membuat gesaan sama melalui posnya dalam Facebook.

Dalam tulisan itu Syed Hamid menyenaraikan sembilan cabaran yang dihadapi BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Antara kata Syed Hamid, beberapa isu utama yang dibangkitkan Dr Mahathir yang belum diselesaikan.

"Apakah cabaran BN untuk pilihan raya umum ke-14? Strategi tidak jelas. Kredibiliti dipertikai. Pendirian berbeza antara pemimpin. Jawapan kepada isu tidak meyakinkan. Pemimpin cenderung menunjukkan kemewahan.

Politik negara kini gawat

"Soalan-soalan pokok Tun Mahathir tidak terjawab. Penggunaan media sosial yang meluas dan memihak kepada pembangkang. BN tidak ke depan dalam menyerang. Kelihatan lemah kerana BN sendiri tidak mantap," tulis Syed Hamid.

Sementara itu dalam blognya pula, Syed Hamid berkata, masalah politik negara kini berada pada tahap gawat.

Beliau yang kini menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkata, masalah yang dihadapi BN kini amat besar dan terbahagi kepada dua iaitu kelemahan dalaman dan luaran.

"Lebih memburukkan keadaan apabila dakwaan dilontar Dr Mahathir terhadap Najib tidak dapat ditepis oleh parti," katanya.

Cabaran itu, katanya Syed Hamid, perlu diberi perhatian kerana Dr Mahathir memiliki sokongan meluas di kalangan ahli parti dan pengundi.

"Dalam hal ini, pembangkang dilihat tidak perlu bekerja keras, sebaliknya cuma menggunakan kembali peluru yang dihasilkan oleh Tun M untuk menembak Umno dan BN.

"Sama ada Dr Mahathir berjaya atau tidak untuk menjatuhkan Najib, perkara itu masih belum dapat dijangka tetapi apa yang jelas BN rosak teruk. Sama ada boleh dipulihkan atau tidak, hanya akan diketahui selepas PRU 14," katanya.

Syed Hamid menjadi menteri dalam kabinet antara 1999 hingga 2009. Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno.

'Kaji semula GST'

Turut mendapat perhatian Syed Hamid ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak diterima baik orang ramai.

Justeru, katanya, GST perlu dikaju semula kerana jika tidak, ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

"Pada peringkat ini, penting untuk mereka (BN) keluar dari sindrom berasa selamat atau leka dan hanya mempercayai bahawa mereka tidak boleh dikalahkan," katanya lagi.
Lihat Komen
ADS