Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

M Indira Gandhi sehingga kini masih belum dapat bertemu anak perempuannya, Prasana Diksa yang dirampas oleh bekas suaminya ketika kanak-kanak itu masih menyusu, enam tahun lalu.

Indira tidak dapat bersama ketika kanak-kanak itu menyambut ulangtahun kelahiran pada 8 April lalu, dan tidak dapat melihat anak itu membesar.

Guru tadika itu kini hanya mampu berharap agar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mematuhi perintah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh agar anak itu dikembalikan kepadanya.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membenarkan persoalan undang-undang yang dikemukakan olehnya kepada IGP dan pasukan polis didengar di mahkamah.

Mahkamah juga menolak permohonan bekas suami Indira, Pathmanathan @ Ridhuan Abdullah untuk mendapatkan penangguhan berhubung hak untuk didengar di mahkamah.

Ini memandangkan, Ridhuan masih belum bebas dari tuduhan menghina mahkamah, kerana tidak mengembalikan Prasana kepada Indira sejak 2009.

Pergelutan kes itu bermula apabila Ridhuan memeluk Islam pada tahun itu dan turut menukar agama anak tersebut tanpa pengetahuan ibu kanak-kanak tersebut.

Kes itu berlarutan apabila Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 memberikan hak jagaan kanak-kanak itu pada Indira.

Ridhuan bagaimanapun tetap enggan mengembalikan anak tersebut dan mahkamah memberi perintah mandamus kepada Indira untuk memaksa IGP dan polis mendapatkan semula anak tersebut.

Polis bagaimanapun enggan bertindak memandangkan Mahkamah Syariah Ipoh memberikan hak jagaan anak tersebut pada Ridhuan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Indira mempersoalkan keabsahan tindakan polis itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS