Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR tak arah bloger elak bertanding di Rompin

Penulis blog Mohd Shukri Mohd Ramli hilang kelayakan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Rompin disebabkan gagal mengemukakan penyata perbelanjaan selepas bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga menafikan dakwaan Mohd Shukri, 44, yang lebih dikenali sebagai Cucu Mat Kilau, bahawa pegawai agensi itu menghubunginya dan meminta supaya tidak bertanding.

Sebelum itu, Mohd Shukri mendakwa disebabkan panggilan berkenaan, pencadang dan penyokongnya tidak hadir pada hari penamaan calon hari ini di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, sekaligus membantutkan hasratnya bertanding.

Abdul Aziz berkata, Mohd Shukri boleh berkata apa sahaja, namun SPR tidak pernah menghalang sesiapa untuk bertanding.

"Jika cukup syarat dan lengkap borang pencalonan, kita akan beri peluang (untuk bertanding).

"Malah jika ada kekurangan pada borang pencalonan, kita akan bantu lengkapkan supaya pegawai pengurus tidak menolak pencalonan itu," katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon.

Yakin dapat 5,000 undi

Mohd Shukri, yang mengumumkan Isnin lalu untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil Rompin, tiba di kawasan pusat penamaan calon 10 minit sebelum ia ditutup pada jam 10 pagi.

Dia datang berseorangan memakai baju kemeja biru tua dan berseluar hitam, ditahan di pintu masuk dewan oleh pegawai SPR untuk memastikan tujuan hadir ke situ.

Selepas mendapati Mohd Shukri tidak mengemukakan penyata perbelanjaannya ekoran bertanding dalam PRU ke-13 pada Mei 2013 serta tidak membawa pencadang serta penyokong, dia dihalang memasuki dewan itu.

Mohd Shukri dilihat membantah keputusan pegawai SPR itu dan enggan beredar, menyebabkan petugas meminta bantuan polis untuk membawanya keluar dari kawasan dewan penamaan calon.

Ketika berjalan keluar, Mohd Shukri sempat meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada media.

Dia juga optimis akan memperoleh 5,000 undi.

Bernama

Lihat Komen
ADS