Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin nafi mohon maaf berhubung RUU hudud
Diterbitkan:  Apr 25, 2015 1:43 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan membuat permohonan maaf secara peribadi kepada PAS berkaitan pendirian partinya membantah rancangan presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan rang undang-undang ahli persendirian mengenai hudud.

Azmin menegaskan bahawa perjumpaan selama sejam dengan PAS malam tadi di Seberang Jaya adalah untuk menjelaskan 'salah faham'  antara kedua-dua parti pembangkang itu.

Oleh itu, Azmin ketika ditemui di SP Arena di Seberang Jaya malam tadi berkata tidak timbul soal permohonan maaf.

Beliau berkata demikian selepas PKR mengumumkan Presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Azmin berkata perjumpaan itu dihadiri oleh beberapa pemimpin tinggi PAS termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya 11 PAS Pulau Pinang Datuk Salleh Man dan Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan.

Omar sebelum ini berkata bahagian itu akan memboikot pilihan raya kecil jika PKR gagal memohon maaf atas keputusan parti itu tidak menyokong langkah Abdul Hadi mengemukakan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen.

Azmin berkata Mat Sabu, yang mempengerusikan perjumpaan itu, mengulangi keputusan kepimpinan pusat PAS pada 13 April bahawa parti itu akan menyokong PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Mat Sabu melaporkan Omar sendiri telah membuat persediaan untuk jentera kawasan itu untuk membantu PKR sejak 12 Mac, tambah Azmin.

Apabila ditanya, Azmin berkata isu boikot tidak timbul kerana dalam mana-mana parti, ahli akar umbi mengambil arahan dari kepimpinan pusat parti.

Walaupun ada arahan kepimpinan PAS pusat, Omar memberitahu media bahawa kawasan itu hanya akan mengambil arahan dari Hadi.

Mengenai perkara itu, Azmin berkata: "Itu adalah perkara dalaman mereka."

Azmin mengulas laporan dalam akhbar theSun semalam bahawa PKR telah membuat permohonan maaf secara peribadi kepada PAS dan juga penjelasan mengenai kenyataan mereka membantah rang undang-undang persendirian Hadi mengenai hudud.

Ahli Jawatankuasa PAS Permatang Pauh, Jamsari Salleh dilaporkan oleh theSun sebagai berkata bahawa kawasan itu kini akan menyokong PKR kerana Azmin telah membuat permohonan maaf.

Hari penamaan calon Permatang Pauh berlangsung hari ini, manakala pengundian akan diadakan pada 7 Mei, dengan pengundian awal pada 3 Mei.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS