Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Cabaran BN di Pmtg Pauh ibarat daki gunung
Diterbitkan:  Apr 25, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidddin Yassin berkata cabaran yang perlu dilalui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini adalah sukar yang diibaratkannya seperti 'mendaki gunung'.

Bagaimanapun, timbalan perdana menteri berkata kejayaan bukan mustahil untuk dicapai calon BN Suhaimi Sabudin, kerana BN bergerak sebagai satu pasukan yang padu.

"Saya tahu ini bukan kerja mudah...'we are underdog' kata orang, sebagai 'underdog' kita tahu cabaran kita seperti mendaki gunung.

"Tapi saya yakin kerana dalam BN yang bergerak bekerja semuanya padu, tak ada split (perpecahan) dalam Umno bahagian baik dari segi gerakan ataupun dari segi calon tak ada perpecahan. Kita tahu kita boleh bergerak sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di Bukit Mertajam hari ini.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Suhaimi akan dicabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Ishak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia.

Muhyiddin berkata beliau juga melihat jentera parti kali ini komited dalam memastikan kejayaan calon BN dan kesepaduan yang dilihat kali ini jauh lebih baik berbanding masa-masa lepas.

"Dulu kita tahu banyak masalah, ada perpecahan tapi kali ini solid, intact," (padu dan baik) katanya.

Muhyiddin berkata BN mempunyai sasaran tertentu yang ditetapkan di setiap daerah mengundi di kawasan Permatang Pauh.

"Kalau ini kita usahakan bersungguh-sungguh tidak ada satu perkara yang mustahil," katanya.

Beliau berkata BN yakin calonnya mampu memikul tanggungjawab dan amanah penduduk sekiranya diberi peluang mewakili kawasan yang dikatakan kubu kuat PKR itu dan membawa perubahan serta pembangunan di Permatang Pauh.

Muhyiddin berkata beliau percaya Suhaimi yang merupakan penduduk tempatan akan berada di kawasan itu sepanjang masa bagi menangani masalah dan membantu keperluan penduduk di kawasan ini.

"Saya curiga jika calon lain yang dipilih tidak ada masa untuk memberi pembelaan yang adil untuk penduduk setempat...Suhaimi penduduk di sini akan berada di sini dan akan bertemu dengan pengundi setiap hari, dia tak ada kawasan DUN lain," katanya.

Ditanya perbandingan dengan Rompin, beliau berkata Rompin adalah lebih maju dengan pembangunan yang dibawa oleh BN selama ini berbanding Permatang Pauh yang jauh ketinggalan dan berhadapan dengan pelbagai isu di peringkat tempatan.

"Dahulu pun wakil rakyat tidak beri tumpuan, dia kelihatan sebagai pemimpinbesar tapi dari segi tanggungjawab dan tugas di bawah tidak dilaksanakan... ini maklum balas yang kita terima," katanya.

Suruhanjaya pilihan raya menetapkan 3 Mei sebagai hari pengundian awal dan 7 Mei hari pengundian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS