Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang menafikan calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh yang menggunakan lambang parti itu adalah ahlinya.

Sambil menggelarkan calon tersebut Azman Shah Othman sebagai pelawak, Pengerusinya Datuk Gary Nair mendesak individu itu menarik balik pencalonannya.

"Kami sedar hari ini, seorang calon kononnya ahli PRM bertanding di PRK Permatang Pauh.

"Kami secara mutlak menolak individu ini yang mana tidak mempunyai kaitan dengannya.

"Pelawak ini, bukan sahaja bukan ahli parti, tetapi berani guna nama dan bendera kami," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Selain itu, Gary berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mengesahkan surat watikah perlantikan yang diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu, Gary meminta supaya semua ahli PRM yang mengundi di Permatang Pauh memberikan undi mereka kepada PKR.

"Kami sedang menulis surat kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi mendapatkan kepastian tentang pengesahan surat itu.

"PRM Pulau Pinang mendesak calon itu menarik balik pencalonnya. Kepada semua ahli kami, undilah PKR," katanya lagi.

Azman hari ini diumumkan sebagai salah seorang calon PRK Permatang Pauh. Selain Azman, calon lain ialah Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR), dan Salleh Ishak (bebas).

Lihat Komen
ADS