Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter bukan sahaja mengorbankan lebih 900 nyawa di Nepal sementara 34 orang disahkan terbunuh di India tetapi juga hampir memusnahkan beberapa bangunan lama berusia berabad di ibu negara Kathmandu dan kawasan sekitarnya.

    

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa situasi cemas itu belum berakhir apabila 21 gempa susulan dilaporkan dengan beberapa gempa susulan itu berukuran 5.5 hingga 6.5 pada skala Richter.

    

Jabatan Meteorologi India (IMD) sedang memantau dengan rapi pergerakan seismik di rantau itu yang masih tidak selamat untuk penduduk kembali ke rumah masing-masing.

    

Para pegawai News Delhi memberi amaran kepada orang ramai bahawa gempa susulan kecil akan berlarutan selama hampir sebulan.

    

Gempa susulan turut dirasai di ibu negara India dengan beberapa kawasan kediaman dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik selama lebih sejam.

Beribu-ribu penduduk Kathmandu masih berkumpul di jalan-jalan utama bersama pegawai penyelamat kebanyakannya anggota tentera dan sukarelawan dengan menggunakan sumber yang terhad dalam operasi mencari dan menyelamat.

    

Stesen televisyen di Kathmandu dan di sini menyiarkan liputan 24 jam dengan liputan di hospital di ibu negara Nepal menyaksikan mangsa yang patah tangan dan kaki dikejarkan untuk rawatan.

    

Tetapi adalah tidak jelas berapa ramai mangsa yang cedera tetapi lima orang kakitangan Kedutaan Malaysia dan ahli keluarga mereka dilaporkan selamat.

    

Mengenai kemusnahan pada bangunan, Menara Dharahara yang bersejarah dibina pada abad ke-19 di Kathmandu runtuh, menyebabkan sekurang-kurangnya 200 orang terperangkap.

    

Polis Nepal dipetik sebagai berkata bahawa menara itu dibuka kepada pelawat sejak 10 tahun yang lalu dan mempunyai balkoni di tingkat lapan untuk meninjau pemandangan.

Stesen-stesen televisyen merakamkan visual mayat-mayat mangsa gempa bumi dikeluarkan dari kawasan runtuhan.

    

Dalam perkembangan berkaitan, antara negara pertama yang menyahut seruan bagi bantuan kepada Nepal dan rakyatnya ialah India apabila Perdana Menteri, Narendra Modi memberi jaminan bahawa negara itu akan membantu Nepal pulih seperti sediakala dengan secepat mungkin.

    

Dalam masa beberapa jam, dua pesawat Tentera Udara India mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu dengan membawa 300 orang Pasukan Bantuan Bencana Negara (NDRF) dan 50 tan bekalan ubat-ubatan dan makanan.

    

Sebelum ini, 17 helikopter yang dikerah ke kawasan bencana, terpaksa berpatah balik ke pangkalan di India akibat cuaca buruk.

    

Semua penerbangan komersil ke Nepal dilencongkan ke bandar raya lain di India bagi memudahkan ketibaan pasukan penyelamat antarabangsa.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kathmandu dijadualkan dibuka semula untuk penerbangan komersil esok bagi memudahkan warga asing yang terkandas untuk kembali ke negara masing-masing.  

    

Gempa bumi itu turut menyebabkan runtuhan salji dan sehingga pukul 7 malam waktu tempatan di ibu negara India ini, pasukan penyelamat tentera telahpun mengeluarkan 18 mayat dari Base Camp 1 dan 2 Gunung Everest.

    

Pegawai-pegawai tentera mengesahkan bahawa kebanyakan mereka ialah warga asing dan kira-kira 15 pendaki dilaporkan masih hilang.

    

Dalam perkembangan berkaitan, daripada 34 mangsa India yang terkorban, 25 daripada mereka ialah dari negeri Bihar.   

    

Para pegawai India menganggarkan bahawa angka kematian dijangka meningkat kerana beberapa kawasan pedalaman masih tidak dapat diakses.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS