Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR memohon supaya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan untuk mengundi pada pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Naib Presiden Nurul Izzah Anwar berkata bapanya perlu diberi kebenaran itu memandangkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini mengatakan akan mencari mekanisme bagi membenarkan banduan mengundi.

Menurutnya lagi, pada Julai 2013 Zahid mengumumkan kementeriannya akan mencari mekanisme bagi membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Saya menyambut baik saranan menteri dalam negeri dan mencadangkan agar pilihan raya kecil Permatang Pauh ini menjadi projek rintis dengan membenarkan Anwar dibenarkan keluar mengundi pada 7 Mei ini.

"Bukankah tempoh setahun lebih yang diperuntukkan untuk mencari mekanisme perundangan yang selari antara akta penjara dan Perlembagaan sudah mencukupi," katanya dalam sidang media di Pusat Media PKR Permatang Pauh.

Zahid dilapor berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan perbincangan berterusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan banduan menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

Nurul Izzah juga berkata Akta Penjara 1965 memperuntukkan kuasa membenarkan mana-mana penghuni penjara hadir ke majlis atau pengebumian yang tertakluk bawah arahan pengarah penjara dan KDN.

Malah, hak warganegara untuk mengundi ahli dewan rakyat atau ADUN dalam sebarang pilihan raya terjamin dalam artikel 119, Perlembagaan Persekutuan, katanya lagi.

"Justeru, saya menyeru agar KDN melaksanakan prinsip asas dengan membenarkan hak kewarganegaraan dilunaskan oleh Anwar yang menjadi tahanan politik dengan membenarkan beliau keluar mengundi," kata anak sulung Anwar itu lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan jentera Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini, akan terus menumpukan isu cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Datuk Saifuddin Nasution.

    

Beliau berkata keputusan itu diambil berdasarkan maklum balas dari 28 Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) PKR bahawa masyarakat Permatang Pauh lebih mengutamakan isu sistem pencukaian itu berbanding isu lain.

    

"Penerangan jentera kita tentang isu CBP dan kesengsaraan akibat CBP ini adalah isu yang paling teratas sekali menerima penerimaan dan sambutan yang baik dari rakyat.

    

"Contoh, dengan gerakkan jentera kami dari rumah ke rumah, pasar, tempat-tempat berhimpun penduduk, dengan menyebarkan risalah seperti ini, kami dapati petunjuk yang sangat terang dan jelas bagaimana rakyat begitu resah sekali akibat pelaksanaan CBP," katanya dalam sidang media itu.

Lihat Komen
ADS