Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PasMa turun padang sedia 'manifesto' untuk Pakatan

NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan mengadakan pertemuan dengan rakyat bagi mendengar permasalahan dan pendapat mereka sekaligus mencadangkan 'manifesto' kepada Pakatan Rakyat.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi pagi tadi dalam ucapan pembukaan konvensyen NGO itu di Shah Alam berkata ‘PasMa akan kemukakan manifesto’ sebelum pilihan raya umum (PRU14).

Bagaimanapun, ditemui Malaysiakini kemudiannya, beliau menjelaskan manifesto itu untuk membantu Pakatan, memandangkan dasar penubuhan NGO itu untuk mengukuhkan gabungan pembangkang itu.

"Oleh kerana PasMa adalah NGO dari bukan parti politik, apabila menghampiri PRU-14, setahun sebelum itu kita akan mengadakan majlis-majlis untuk mengambil pandangan rakyat.

"(Antaranya) apa sebenarnya yang rakyat nak dari sebuah kerajaan. Dari situ kita akan buat rumusan daripada majlis perjumpaan dengan rakyat secara terbuka, kita kumpulkan dan cadangkan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Phahlolrazi berkata walaupun sebelum ini banyak salah tanggapan terhadap mereka, namun gerak usaha akan dibuat bagi menerangkan kepada masyarakat tujuan pernubuhan PasMa.

“Kita akan kukuhkan dengan buat lebih banyak sesi dialog, majlis itu terbuka kepada semua untuk hadir dan mereka terbuka untuk tanya, kita buat secara langsung. Jadi dengan cara itu orang faham.

“Tapi ramai yang tak faham tentang matlamat PasMa sebab orang buat tuduhan kepada PasMa, itu yang rosakkan imej kita,” katanya yang juga ADUN Pengkalan Kundor.

PasMa dalam kenyataanya semalam, sudah memulakan gerak kerja awalnya apabila mengerahkan 1,000 sukarelawan untuk membantu Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Mereka akan berkempen dengan memberi penjelasan tentang isu-isu semasa terutamanya isu hudud.

Lihat Komen
ADS