Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham sangkal dakwaan Pemuda tak berkempen
Diterbitkan:  Apr 26, 2015 4:17 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyangkal dakwaan kononnya jentera Pemuda parti itu tidak

turun padang untuk berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin kerana merajuk tidak dipilih sebagai calon.

    

Pemuda Umno masih dapat dilihat di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kebanyakan kawasan Parlimen Rompin, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 70 anggota Veteran Angkatan Tentera Malaysia cawangan Muadzam Shah di dataran Muadzam Shah dekat Rompin, hari ini.

    

Hishammuddin, yang juga Ketua Penyelaras BN untuk PRK Rompin, bagaimanapun berkata jika terdapat sebarang masalah dalam kalangan Pemuda Umno di peringkat bahagian atau negeri, parti itu akan selesaikan dengan segera.

    

Beliau turut berkata fokus parti itu sekarang adalah mengenal pasti kaedah untuk memujuk 53,294 pengundi keluar mengundi pada 5 Mei nanti untuk memastikan kerusi Parlimen itu terus milik BN dan bukan pasal isu Pemuda Umno.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan turut menasihati masyarakat Rompin supaya jangan terlalu mengikut emosi dengan isu-isu semasa yang dibangkitkan pembangkang.

    

"Pada masa sekarang, ada sahaja agenda tersendiri untuk menjatuhkan kita (BN), ada sahaja cerita untuk memperlekehkan kepimpinan negara. Dan kalau kita terikut dengan emosi, kemungkinan besar kita akan mengalami ancaman-ancaman dari luar pula.

    

"Sebenarnya ada had dan batas dalam politik. Rakyat yang harus mengetahui kebenarannya. Jangan disebabkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya.

    

Hishammuddin apabila diminta mengulas kritikan berterusan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata serangan politik terhadap pemimpin negara adalah perkara biasa dalam dunia politik.

    

Walau bagaimanapun serangan itu tidak sepatutnya menjejaskan kepimpinan negara dalam menjaga kebajikan rakyat, katanya.

Malah Dr Mahathir pernah memaklumkan semasa beliau menjadi perdana menteri dahulu serangan politik terhadapnya adalah perkara biasa, katanya.

    

Turut hadir pada majlis itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan, ADUN Bukit Ibam Wan Kadri Wan Mahussin dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Senator Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

     

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS