Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Jentera BN akan jelas kritikan Dr M
Diterbitkan:  Apr 26, 2015 7:15 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Jentera BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh akan memberi penjelasan sewajar terhadap perkara yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun tumpuan utama penjelasan yang akan dibuat oleh jentera BN ialah mengenai isu yang dibangkitkan oleh penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

    

"Mana yang boleh kita jawab, kita jawab. Itu tanggungjawab sebagai jentera BN. (Namun) tak payah kita tumpukan kepada apa yang beliau (Dr Mahathir) sebut, tapi lebih kepada apa yang kita tahu berlaku di bawah.

    

"Itu lebih baik dan menjurus kepada pengundi di kawasan itu (Rompin dan Permatang Pauh)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama 600 warga Institusi Pendidikan Daerah Rompin di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, di Muadzam Shah, hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap pentadbiran kerajaan.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khir Mohamad Yusof, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail dan calon BN pada PRK Rompin, Datuk Hasan Arifin.

    

Ditanya sama ada kritikan Dr Mahathir akan memberi kesan buruk kepada BN pada pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata ia terserah kepada jentera parti untuk turun ke akar umbi bagi memberikan penerangan.

    

Kebelakangan ini, Dr Mahathir menerusi media dan laman sosial mempersoalkan pentadbiran negara, termasuk memberi saranan supaya perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 April lalu ditarik semula dan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dihentikan.

    

Dalam pada itu, Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan jentera BN di Rompin, yang disifatkan beliau sebagai 'berjalan dalam satu pasukan yang kuat'.

    

"Saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, tak ada kawasan yang kita tinggalkan dan beri perhatian sama berat...calon kita (Hasan) juga baik dan semua orang kenal, jadi senang untuk kita buat kerja," katanya sambil menasihatkan penduduk Rompin untuk tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang semasa berkempen.    

PRK Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei ini menyaksikan Hasan dicabar calon PAS Nazri Ahmad, 40, bagi mengisi kekosongan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lepas.

    

Sementara itu, PRK Permatang Pauh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Suhaimi Sabudin, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman dan calon Bebas, Salleh Isahak.

    

PRK yang dijadualkan pada 7 Mei ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS