Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis jelas alasan batal konsert Thirst
Diterbitkan:  Apr 27, 2015 1:29 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Polis enggan membenarkan konsert 'Thirst 2015: We Are All Stardust' diteruskan selepas mereka mendapat bantahan daripada masyarakat setempat, kata Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad.

Katanya, pada 24 April lalu polis memaklumkan (kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya) bahawa pihak berkuasa tidak menyokong permit konsert berkenaan berdasarkan bantahan daripada penduduk tempatan dan pejabat wakil rakyat pada 23 April.

"Polis perlu mengambil kira keselamatan masyarakat dan mengelak kejadian tidak diingin berlaku," katanya.

Konsert itu dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) pada Sabtu tetapi penganjur Future Sound Asia dimaklumkan bahawa permit itu ditolak sehari sebelumnya.

MIECC terletak dalam kawasan parlimen diwakili Ong Kian Ming dan DUN Seri Kembangan yang terajui Exco Selangor Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun Razimi tidak menjelaskan maksud "kejadian yang tidak diingini" itu, namun tahun lalu acara Future Music Festival dibatalkan selepas enam pengunjungnya maut kerana mengambil dadah.

Razimi berkata, pada asalnya polis tiada halangan meluluskan permit berkenaan selepas berbincang dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada 25 Mac.

Bagaimanapun MPSJ telah menolak permohonan tersebut pada 6 April.

Kemudian pihak berkuasa tempatan itu  meluluskan kembali permit tersebut dengan syarat-syarat tertentu pada 22 April selepas penganjur membuat rayuan.

Semalam, Ong ( gambar ) menggesa polis menjelaskan mengapa pembatalan pengajuran konsert itu selepas dibenarkan pada 25 Mac.

Beliau berkata MPSJ dipaksa untuk membatalkan permit tersebut selepas polis tidak memberi kebenaran.

Permit bersyarat MPSJ itu, kata Ong, antara lain meminta penganjur memastikan tiada orang Islam atau pengunjung di bawah 18 tahun dibenarkan masuk ke konsert tersebut. [Baca berita asal]

Sementara itu, Ean menyifatkan kenyataan Razimi bahawa “Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan” turut membantah knsert itu sebagai "tidak betul dan merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab".

"Untuk makluman lokasi penganjuran program adalah terletak di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) dan ia dibawah kawasan DUN Seri Kembangan dan Parlimen Serdang.

"Untuk menegaskan di sini ialah saya dan Ahli Parlimen Serdang YB Dr Ong Kian Ming tiada halangan terhadap program tersebut," katanya sambil mendesak polis mengemukakan dokumen membuktikan pejabat ADUN mana yang membantah konsert itu.

Dalam kenyataannya juga, Ean berkata beliau tak nampak justifikasi mengapa polis perlu menukar fikiran pada saat akhir melibatkan satu program bertaraf antarabangsa yang melibat kos perbelanjaan yang besar tambahan pula 3,000 tiket telahpun dijual.

"Ia mengakibatkan pihak penganjur mengalami kerugian berjuta ringgit. Insiden ini telah memberi satu persepsi yang buruk kepada dunia luar dan menjejaskan imej dan nama baik negara kita," katanya yang mempersoal sikap profesionalisme polis.

Lihat Komen
ADS