Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon Bebas kata sudah keluar Umno
Diterbitkan:  Apr 27, 2015 5:35 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh Salleh Isahak menegaskan beliau tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil itu.

Katanya sejak 2001, beliau sudah tidak aktif dalam mana-mana parti politik, dan kini bergerak secara aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Salleh berkata beliau menubuhkan Pertubuhan Bakti Ikhlas Malaysia (Perbaik) berpusat di negeri ini sebagai platform menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik bagi membantu usaha mentransformasikan kecemerlangan insan, sosial dan ekonomi.

"Saya amat kesal sekali kerana terdapat unsur sabotaj di peringkat awal penamaan calon oleh segelintir pihak PKR yang telah mengedar resume dan maklumat palsu bahawa kononnya saya adalah ahli jawatankuasa PKR serta mantan setiausaha PKR cabang Permatang Pauh," katanya dalam sidang media.

Salleh berkata beliau tidak pasti motif mereka namun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam untuk siasatan lanjut.

Kata Salleh, beliau bertanding pilihan raya kecil ini atas kesedaran dan keikhlasan untuk berjihad bagi menegakkan agama, bangsa dan tanah air.

Jika berpeluang menjadi Anggota Parlimen Permatang Pauh, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik untuk manfaat penduduk di kawasan itu.

Ditanya dakwaan bahawa beliau masih anggota UMNO, Salleh berkata beliau meninggalkan Umno cawangan Alma sejak 2001 tetapi tidak pasti sama ada namanya masih sah sebagai anggota parti itu atau tidak.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Salleh, Suhaimi Sabudin (BN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR),

dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS