Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hasan, usah ambil hati ejekan calon kitar semula'
Diterbitkan:  Apr 28, 2015 11:21 AM
Dikemaskini: 3:24 AM

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin tidak harus mengambil hati dengan ejekan pembangkang mengenai calon kitar semula.

    

Sebagai seorang yang pernah digelar sebagai calon kitar semula oleh pembangkang pada PRK Parlimen Teluk Intan, April tahun lepas, Mah berkata apa yang penting ialah kesediaan berkhidmat kepada masyarakat terutama demi kebaikan masyarakat.

    

"Dulu mereka (pembangkang) kata saya calon kitar semula, tetapi itu bukan menjadi masalah kerana walaupun saya sudah tua, tapi saya masih ada tenaga dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat. Dan akhirnya saya menang," kata beliau.

    

Mah ditanya oleh pemberita mengenai pengalamannya digelar sebagai calon kitar semula selepas menghadiri majlis dialog dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Daerah Rompin di Rompin semalam.

        

Walaupun dicemuh oleh pembangkang, Mah yang ketika itu berusia 53 tahun berupaya menewaskan peguam muda Dyana Sofya Mohd Daud, 27, dan merampas kembali kerusi itu dari DAP, yang ditawan DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata umur calon bukan menjadi isu besar tetapi apa yang lebih penting ialah "hati dan semangat calon masih bertenaga."

     

Hasan, 62, bekas ADUN Tioman dan Bukit Ibam, menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Ketua Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40, dalam pilihan raya kecil pada 5 Mei ini.

    

Mah yakin bahawa BN akan memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kecil itu jika semua parti komponen bekerjasama bagi memastikan kemenangan dan juga yakin Hasan akan meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis untuk berkhidmat kepada masyarakat Cina di kawasan itu.

    

Mengenai kempen Gerakan di sini, Mah berkata sayap pemudanya telah menjalankan kempen secara agresif untuk memancing undi pengundi muda daripada kaum Cina melalui media sosial dan kempen secara bersemuka.

    

PRK Rompin diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas

    

Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi kaum Cina yang meliputi tiga peratus daripada 53,294 pengundi di kawasan Parlimen itu.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS