Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bakal MP disaran fokus masalah keselamatan
Diterbitkan:  Apr 28, 2015 11:45 AM
Dikemaskini: 10:29 AM

Masyarakat Cina di Permatang Pauh mahu masalah keselamatan di kawasan perumahan mereka diberi perhatian oleh wakil rakyat yang akan dipilih pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen itu 7 Mei ini.

    

Penduduk di beberapa kawasan seperti Kampung Sungai Semambu, Kubang Ulu dan perkampungan Sungai Lembu mendakwa kes-kes jenayah di kawasan perumahan telah meningkat sejak 15 tahun lepas dan mereka amat bimbang dengan keselamatan masing-masing.

    

Ong Chin Chye, 55, seorang penjual colok dan alat sembahyang, berkata rumahnya baru dipecah masuk awal bulan lepas dan kerugian melebihi RM1,000.

    

"Kami harap wakil rakyat baharu nanti dapat membantu kami menyuarakan kepada kerajaan dan bertindak segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama pada satu majlis bersama calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin di Bukit Mertajam, semalam.

    

Ong, yang menetap di Kampung Sungai Semambu sejak 40 tahun lepas, berkata dalam tempoh 15 tahun lepas, tidak banyak kemajuan berlaku di Permatang Pauh kecuali di Seberang Jaya, yang berkembang menjadi bandar bersepadu dengan kawasan pentadbiran, perumahan, perindustrian dan sektor komersil bagi wilayah utara Semenanjung.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kawasan Penanti, Kuan Kheng Wah, 57, berkata isu keselamatan adalah penting tetapi faktor pembangunan juga tidak seharusnya diabaikan oleh bakal wakil rakyat.

    

Bekas kakitangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu berkata kawasan Penanti amat memerlukan satu taman rekreasi bagi membolehkan penduduk di sini mengadakan aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi.

    

"Jarak antara rumah ke taman rekreasi terdekat iaitu di Seberang Jaya adalah lebih lima kilometer dan kami amat berharap wakil rakyat baharu akan dapat membina satu taman rekreasi berhampiran kawasan ini," katanya.

    

Terdapat sejumlah 16,472 pengundi Cina di kawasan Parlimen itu, yang merupakan 23 peratus daripada 71,890 pengundi.

    

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN akan ditentang calon PKR yang juga Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia, serta

calon Bebas, Salleh Isahak.

    

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang  dipohon Anwar  melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Ketua Umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS