Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja Muda Perlis: Pertahan budaya positif
Diterbitkan:  Apr 28, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:08 AM

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah budaya yang melambangkan identiti sesebuah negara atau rakyat perlu dipertahankan selagi ia tidak bercanggah dengan rukun agama.

Andai budaya itu baik dan tidak bertentangan dengan rukun agama hendaklah ia dipertahankan kerana budaya tradisi juga menunjukkan budi dan pekerti sesebuah masyarakat, titah baginda di Banda Aceh, semalam.

Baginda bertitah:"Keindahan budaya ini di sebalik nilai-nilai baik di dalamnya harus menyedarkan bagaimana kesulitan kehidupan nenek moyang kita," Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada pertemuan dengan Majelis Adat Aceh (MAA) di Banda Aceh sempena lawatan kerja baginda untuk merasmikan Seminar Wasatiyah Islamiah di Universitas Ubudiyah di Banda Aceh.

Baginda berharap generasi muda dapat dididik supaya cintakan adat dan jati diri bangsa supaya tidak meninggalkan adat dan budaya yang baik dengan mempergiatkan promosi secara bersama di peringkat serantau.

Adat dan budaya yang sesuai hendaklah didokumentasikan supaya 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas,' titah baginda.

Pertemuan itu disertai anggota MAA diketuai Ketua Umumnya, Badrulzaman Ismail manakala Tuanku Syed Faizuddin diiringi oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai amalan budaya dan adat mengikut agama selain merancang mengukuhkan hubungan untuk menyemarakkan Islam antara Aceh dan Perlis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS