Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM minta Youtube, FB buang video hina azan
Diterbitkan:  Apr 29, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta YouTube dan Facebook membuang video menghina azan yang dimuat naik Alvin Tan pada 21 April.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata walaupun YouTube menyekat video berkenaan untuk penonton di Malaysia semalam, tetapi berdasarkan pemantauannya, ia dimuat naik semula beberapa kali dalam laman itu.

"Kami sedang berhubung dengan Facebook supaya membuang video itu," kata SKMM.

Video berdurasi hampir tiga minit bertajuk 'Muslim Call to Prayer-Azan (R&B Cover) itu, yang dimuat naik dalam laman Facebook Tan, menimbulkan kemarahan umat Islam.

SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi video berkenaan melalui sebarang media sosial atau apps chat kerana perbuatan itu melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"SKMM sedang memantau penyebaran video ini," kata kenyataan itu.

SKMM juga menasihati orang ramai yang tidak berpuas hati dengan perbuatan tidak bermoral Tan itu supaya tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

Tan dilaporkan kini berlindung di Amerika untuk mendapatkan suaka politik sebagai cubaan untuk mengelak daripada dikenakan tindakan bagi kesalahan yang dilakukannya di Malaysia.

Kesalahannya termasuk memuat naik kandungan yang menghina Islam dan Raja-raja Melayu melalui akaun Facebooknya. Kesalahan itu boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Hasutan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS