Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku terdapat pihak lain lebih layak menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain timbalannya Tan Sri Muhyidin Yassin.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan tradisi Umno, lebih baik jawatan itu diambil alih oleh pemimpin nombor dua negara.

"Saya tak nak menyinggung perasaan sesiapa. Tetapi mengikut pada tradisi Umno, sepatutnya timbalan yang lebih layak (gantikan Najib). Tetapi ada juga pemimpin lain yang lebih layak.

"Tapi bila pergi pada tradisi lebih baik timbalan yang ambil alih," katanya pada sidang media selepas program Cakna Ilmu di USM Pulau Pinang hari ini.

Selain itu, mengulas hasratnya untuk bertemu dengan ahli Umno, Dr Mahathir berkata ia bertujuan memberi penerangan berhubung "serangannya" terhadap Najib.

Malah, Dr Mahathir turut memberi contoh penjelasan yang ingin diberi kepada akar umbi Umno sama seperti di dalam mahkamah apabila hakim mendengar hujah dari dua belah pihak- tertuduh dan pendakwa.

"Kalau kita dengar dari satu pihak sahaja kita tak akan dapat pertimbangkan sesuatu dengan bijak dan adil. Kalau dalam mahkamah kita dengar yang buat tuduhan dan pertahan. Jadi dua-dua belah.

"Jadi saya nak cerita kenapa ambil tindakan (kritik) yang ramai tak faham mengapa saya buat (kritikan).

"Kalau saya tak diberi peluang untuk bercakap, jadi orang akan tolak pendapat (saya)," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau akan memberikan penjelasan kepada ahli Umno sekiranya dijemput.

"Kalau orang nak panggil saya, pergilah. Kalau tak nak, saya tak (pergi)," kata Dr Mahathir lagi. 

Lihat Komen
ADS