Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dikritik tidak mampu menjaga dua kawasan jika menang di Permatang Pauh, Datuk Seri Wan Azizah Ismail terus mendapat sokongan pemimpin nombor satu negeri.

Selepas Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula berjanji akan membantu menjaga Permatang Pauh jika Azizah mengekalkan kerusi PKR itu.

"Kalau Azmin kata nak jaga Kajang, saya juga akan jaga Permatang Pauh untuk Kak Wan (Azizah)," kata setiausaha agung DAP itu.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di kampung Guar Perahu malam tadi.

Sebelum ini, Wan Azizah berkata sekiranya beliau memenangi pilihan raka kecil Permatang Pauh, Dewan Undangan Negeri DUN (Kajang) akan turut diuruskan bersama Azmin bagi memastikan kedua-dua kawasan itu terjaga.

Azmin turut hadir dalam ceramah itu bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, ditemui pemberita selepas program tersebut, Azmin berkata beliau bersedia menjaga Kajang memandangkan ia tanggungjawab menteri besar untuk menjaga semua DUN di Selangor.

"Kajang salah satu DUN bawah Selangor. Sudah tentu tanggungjawab saya untuk pastikan pembangunan di Kajang berjalan dengan lancar dan baik.

"Sebelum ini pun saya puas hati dengan prestasi (Wan Azizah) walaupun dia baru banyak selesaikan masalah besar.

"Saya percaya dia akan terus bagi khidmat yang efisien," kata Azmin.

Semasa tempoh berkempen PRK kali ini, Wan Azizah dikritik oleh BN kerana didakwa tidak layak mewakili rakyat Permatang Pauh memandangkan kawasannya di Kajang terabai.

Lihat Komen
ADS