Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rumah siap pahat berbunyi.

Walaupun pergolakan dalaman Pakatan Rakyat di peringkat nasional dan Pulau Pinang dianggap selesai, lain pula halnya di peringkat bawahan.

Dalam acara yang jarang-jarang berlaku, sekumpulan anggota PAS hari ini berhimpun bagi menyatakan kemarahan mereka kepada PKR dan DAP yang berpunca daripada perbezaan pandangan dalam isu hudud.

Dalam perhimpunan di Masjid Batu Kampung Pertama, di Permatang Pauh, selepas solat Jumaat, mereka mengancam mengadakan “protes senyap” dengan tidak keluar mengundi atau merosakkan undi pada 7 Mei nanti.

Ketua Penerangan PAS cawangan Bagan Azmi Jaafar berkata tindakan itu akan diambil kerana akar umbi PAS masih tidak berpuas hati dengan PKR yang tidak memohon maaf secara terbuka dalam isu itu.

"Ahli PAS juga tidak akan keluar mengundi atau rosakkan undi kerana kebiadaban PKR.

"Buat apa sokong orang yang tak sokong hudud.

"Asyik (kempen) sebut GST sahaja. Kami bukan nak (cakap mengenai) GST sahaja tapi sebut dengan jelas sokong hudud," katanya.

"Jangan main-main'

Selain itu ditanya sama ada tindakannya itu diketahui oleh PAS negeri dan Pusat, Azmi berkata:

"Kami dah letak dalam Facebook. Kalau tak bagi pun, kami akan buat (protes).”

Malah, Azmi turut memberi amaran kepada PKR supaya tidak mengambil mudah desakan mereka itu.

Katanya, dengan "protes senyap" itu, calon pilihan raya kecil parlimen itu Datuk Seri Wan Azizah Ismail boleh kehilangan banyak undi.

“Pengundi PAS ada lebih 10,000 (anggota) di Permatang Pauh. Jangan main-main. Ini amaran kepada Wan Azizah," katanya lagi.

Rabu lalu, Pemuda PAS Pulau Pinang menarik balik boikot terhadap PRK Permatang Pauh.

Sebelum ini, mereka berpendirian untuk memboikot pilihan raya kecil itu berikutan kenyataan Pemuda PKR (AMK) negeri yang didakwa menghina Hadi.

PKR juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian enakmen hudud yang akan dibawa Hadi.

Lihat Komen
ADS