Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setelah pelbagai dakwaan dan spekulasi, seorang pegawai kepada perdana menteri menegaskan bahawa majlis kenduri kahwin keluarga itu langsung tidak menggunakan wang rakyat.

Majlis anak Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk orang kenamaan di KLCC, ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengantin lelaki.

“KLCC itu adalah majlis yang diminta oleh pihak lelaki, untuk tetamu meraikan sahabat-sahabat dia (keluarga Daniyar Kessibayev dari Kazakhstan).

“Walaupun dihos oleh keluarga perdana menteri tetapi diminta oleh keluarga lelaki. Tidak hanya minta tetapi ditanggung oleh keluarga pihak keluarga lelaki,”kata Rizal Mansor ( kanan ) ketika dihubungi Malaysiakini.

Justeru, katanya, perkahwinan itu tidak seharusnya menjadi isu dan bersifat peribadi untuk dikongsi dengan semua pihak seperti di tempat lain.

Selain acara di KLCC, acara lain majlis perkahwinan Nooryana Najwa turut diadakan di Seri Perdana, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) dan kawasan Parlimen Najib di Pekan, Pahang.

Tiada gambar dilapor dibenarkan diambil untuk program untuk orang kenamaan di KLCC.

“Kenapa tertutup (di KLCC)? Sebab (takut) orang kata bermewah-mewah, bermegah-megah.

“Kalau (hendak) bermegah-megah, kita buat live (langsung) di TV, kita panggil media untuk buat liputan. Kerana kita tak mahu tunjuk dekat oranglah kita buat tertutup,” katanya.

'Saya tahu keadaan sebenar'

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sebenar perbelanjaan untuk majlis itu walaupun bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkannya sebagai “perkahwinan abad ini”.

“Ada khabar angin mengatakan beliau (Rosmah) membelanjakan RM3 juta hanya untuk hiasan bunga-bungaan (ketika majlis perkahwinan anaknya),” kata Mahathir ( kiri ) kelmarin.

Rizal juga berkata perunding perkahwinan yang menguruskan majlis itu juga ‘bijak’ mengatur perbelanjaan sehingga sesuatu yang murah berjaya nampak seperti mahal.

Beliau juga berkata mereka juga cuba berjimat dengan menyewa dan tidak membeli barang yang diperlukan.

“Iya (disewa), betul dan (ia) terserah pada kreativiti perunding perkahwinan,” katanya tanpa mendedahkah jumlah kos majlis itu.

Rizal, pegawai Najib sejak mula beliau menjadi perdana menteri, berharap orang ramai dapat berlaku adil terhadap keluarga perdana menteri.

“Saya ambil tanggungjawab ini sebab saya kasihan. Saya tahu keadaan sebenar.

“Tidak seperti mana yang orang cakap, jadi saya rasa baik bagi kenyataan daripada pihak saya. Saya baca komen yang tidak adil untuk PM dan keluarga,” katanya.

“Tidak elok menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.”


Esok: Kisah rombongan kahwin ke Kazakhstan

Lihat Komen
ADS