Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun terdapat ahli parti itu memberi amaran untuk memboikot pengundian pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei depan, namun jumlah tersebut terlalu kecil, kata Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Katanya, jika dibandingkan dengan jumlah ahli PAS di Permatang Pauh, tindakan pihak berkenaan itu tidak akan menjejaskan kemenangan calon Pakatan Rakyat di situ.

"Apabila pimpinan PAS nasihatkan agar kita bersama Pakatan dalam pilihan raya kali ini, maknanya kita sokong calon PKR di sini. Jadi ahli PAS akan ikut (patuh).

"Kalau ada pun (yang tak keluar mengundi), minimum sangat yang bertindak. Kerana majoriti akan ikut keputusan dari PAS (Pusat)," katanya.dalam satu sidang media di Kampung Pelet, Permatang Pauh hari ini.

Selain itu, Suhaizan berkata, sebarang tindakan yang bertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh PAS pusat, tidak akan diambil kira.

Ia berikutan PAS pusat pada 13 April lalu membuat keputusan untuk membantu PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, katanya.

"Saya tak pasti demo itu atas keputusan yang rasmi di negeri terbabit.

"Apabila PAS telah putuskan pada 13 April lalu bahawa PAS akan membantu PKR Permatang Pauh, jadi mana-mana keputusan bertentangan adalah terbatal," katanya lagi.

Semalam, satu himpunan oleh PAS cawangan Bagan diadakan sebagai tanda protes terhadap PKR dalam isu hudud.

Malah, kumpulan itu memberi ancaman untuk tidak keluar mengundi pada 7 Mei depan sekiranya PKR tidak membuat kenyataan terbuka dalam isu hudud serta AMK membuat permohonan maaf berhubung kenyataan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Lihat Komen
ADS