Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berhubung Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bersifat peribadi kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua AMK pusat itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua AMK negeri Khairil Anuar Kamaruddin itu bersifat peribadi dan bukan kenyataan rasmi AMK.

Sehubungan itu Nik Nazmi berkata, perkara tersebut sepatutnya diajukan kepada pihak yang membuat kenyataan tersebut.

"Kena tanya orang AMK itu sendiri. Itu kenyataan peribadi bukan kenyataan rasmi AMK," katanya dalam sidang media Pemuda Pakatan di Kampung Pelet, Permatang Pauh hari ini.

Sebelum ini, Pemuda PAS negeri bertindak memboikot kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh kerana tidak puas hati dengan AMK Pulau Pinang yang enggan memohon maaf atas “penghinaan” terhadap Hadi.

Ia rentetan kecaman Khairil ke atas Hadi, dan gesaan agar ulama PAS itu meletak jawatan kerana timbul desas desus bahawa parti Islam itu bersekongkol dengan Umno.

Rabu lalu, Pemuda PAS mengubah pendirian mereka untuk menarik balik boikot itu dan bersetuju membantu jentera Pakatan dalam pilihan raya kecil itu dengan syarat AMK memohon maaf.

Manakala menurut Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula, isu antara AMK negeri dan Pemuda PAS negeri tidak berbangkit dan telah selesai.

Lihat Komen
ADS