Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno K'tan kempen melalui dikir barat
Diterbitkan:  May 3, 2015 5:24 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Bagi menarik perhatian ramai dan menyampaikan mesej dengan lebih berkesan, Badan Perhubungan Umno Kelantan turut turun berkempan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dengan menggunakan persembahan dikir barat.

    

Ketua Kumpulan Dikir Barat Kelantan (Pendikir), Mohd Idris Berahim berkata mereka diminta badan perhubungan itu untuk mengadakan persembahan dengan membawa mesej pembangunan BN selama empat hari bermula Khamis lepas.

    

Antara lagu paling popular yang mendapat sambutan penonton ialah 'Parti Mana Lagi Hendak Kita Undi Kalau Tidak BN' dan 'Keratong La Ni Tak Supo (Serupa) Dulu' merujuk kepada pembangunan yang berlaku di Felda Keratong yang terletak dalam kawasan Parlimen Rompin.

    

"Kami menggunakan dialek Kelantan dalam persembahan kami. Namun penonton nampaknya tidak mempunyai masalah untuk memahami mesej yang kami sampaikan kerana difahamkan ramai antara mereka berasal dari Kelantan," katanya.

    

Mohd Idris yang memegang watak Abang Jali dalam sitkom terbitan RTM 'Salam Pantai Timur' ditemui pada majlis kenduri kampung di Dewan Semai Bakti, Felda Keratong 1 di Muadzam Shah hari ini.

 

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

    

Pendikir yang dianggotai 25 individu beserta lima penyanyi yang menggelar diri mereka sebagai Abang Jali, Fadli Turbo, Fendi Kenali, Azni Intan Berlian dan Ezwin membuat persembahan dalam tiga kategori iaitu dikir juara, dikir karut dan nyanyian dikir.

    

"Nyanyian dikir merupakan selingan yang dibuat dengan menggunakan bahasa Melayu supaya penonton yang tidak memahami dialek Kelantan juga boleh mendengar mesej yang kami bawa," kata Mohd Idris yang berasal dari Bachok.

    

Sementara itu Mustapa berkata seramai 200 jentera Umno Kelantan telah mula membantu kempen calon BN Datuk Hasan Arifin sejak penamaan calon pada 22 April lalu.

    

"Kita berkempen secara kecil seperti dari rumah ke rumah. Kami juga menggunakan kaedah 'keluarga' semasa berkempan iaitu mendekati pengundi yang berasal dari Kelantan," katanya.

    

PRK yang akan berlangsung Selasa ini menyaksikan Hasan ditentang calon PAS, Nazri Ahmad selepas kerusi itu kosong ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter pada 4 April lalu di Semenyih, Selangor.

    

Pada pilihan raya umum lalu, Jamaluddin menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS