Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angka kematian dalam bencana gempa bumi yang melanda Nepal pada 25 April terus meningkat apabila pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat dari celah-celah runtuhan rumah pada Ahad.

    

Sehingga kini, 7,040 mayat mangsa ditemui dari celah-celah runtuhan dengan 6,650 daripadanya telah diserahkan kepada anggota keluarga untuk upacara keagamaan, kata pegawai di Pusat Operasi Darurat Negara (NEOC), yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menyelaraskan operasi menyelamat dan bantuan.

    

Lebih banyak mayat mangsa ditemui dari celah-celah runtuhan pada Sabtu serta Ahad dan angka kematian mungkin meningkat memandangkan operasi menyelamat dijalankan untuk beberapa hari lagi, kata Laxmi Prasad Dhakal, jurucakap Kementerian Dalam Negeri.

    

Setakat ini bilangan mangsa yang cedera ialah 14,398 orang, menurut NEOC.

    

Dalam kejadian gempa bumi itu, sebanyak 315,557 rumah telah rosak dan daripada jumlah itu, 151,760 rumah musnah sama sekali.

Sementara itu, Dhakal berkata kerajaan telah mengeluarkan NPR 1.35 bilion (US$1.35 juta) untuk diagihkan sebagai bantuan segera kepada keluarga mereka yang terkorban dan mangsa gempa bumi.

    

"Bantuan itu akan diberi kepada keluarga mereka yang terkorban dan penduduk lain yang terjejas sebagai bantuan segera untuk mengadakan upacara agama dan pembaikan kecil di rumah," kata Dhakal.

    

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan kepada keluarga mereka yang terbunuh dan mangsa sebagai tindakan segera.

    

Kerajaan telahpun mengagihkan 6,312 kuintal beras, 345 kuintal garam dan 310 kuintal gula kepada mangsa gempa bumi, menurut para pegawai Kementerian Dalam Negeri.

    

Pada masa sama, kerajaan telahpun mengedarkan barangan sedia untuk dimakan seperti 900,132 kartun mi, 10,638 kuintal emping beras, 27,739 kotak biskut dan 6,298 kotak air botol di 30 kawasan yang terjejas teruk di Nepal.

    

Kerajaan menganggarkan angka kematian akan melepasi 10,000 orang.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS