Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Rompin, TNB pastikan tiada gangguan elektrik
Diterbitkan:  May 4, 2015 8:59 AM
Dikemaskini: 3:32 AM

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin esok berjalan lancar tanpa sebarang gangguan elektrik.

    

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata TNB telah menempatkan hampir 40 generator di semua 38 pusat mengundi.

Beliau berkata ia meliputi 13 pusat mengundi di Rompin, empat pusat di Pulau Tioman dan 21 di Bandar Muadzam Shah termasuk di pusat pengiraan undi.

   

"Seramai 100 warga kerja TNB juga akan berada dalam keadaan siap sedia di Rompin dan juga di Pahang," katanya.

    

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pendawaian Semula Bekalan Elektrik dan Sehari Bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Kampung Pianggu, dekat Rompin semalam.

Ongkili juga berharap tidak akan berlaku sebarang sabotaj sepanjang hari mengundi dan sewaktu pengiraan undi esok.

    

Beliau turut berkata kerajaan akan mengenal pasti dalangnya jika berlaku sebarang sabotaj dan akan mengambil tindakan.

    

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada4 April lepas.

    

Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka pada 30 April lepas, di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan menunaikannya esok.

   

Sementara itu, Ongkili berkata TNB telah membelanjakan RM90,000 bagi membiayai pendawaian semula bekalan elektrik di 30 buah rumah golongan yang kurang berkemampuan di daerah Rompin.

Katanya, ia adalah usaha kerajaan untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang berpendapatan rendah yang tidak mampu membuat pendawaian semula.

   

"Pendawaian semula adalah bagi menggantikan pendawaian elektrik yang sudah lama diguna," katanya.

   

Beliau berkata kerajaan juga telah mengenal pasti 300 rumah untuk dilaksana pendawaian semula di seluruh negara dan setiap satu kerja pendawaian semula rumah melibatkan kos RM3,000.

- Bernama

Lihat Komen
ADS